Henti spekulasi siasatan individu hina Sultan Selangor

Henti spekulasi siasatan individu hina Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sebarang spekulasi atau persepsi berhubung siasatan terhadap kes hina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perlu dihentikan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa melaksanakan tanggungjawabnya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak berkuasa termasuk Jabatan Peguam Negara memerlukan masa untuk mendapatkan maklumat terperinci.

Ini kerana, pendakwaan tanpa maklumat yang terperinci mungkin menyebabkan pendakwaan cacat. Jadi semua kena faham.

“Tetapi, siasatan kena dibuat dengan segera dan ambil tindakan kerana ia menimbulkan spekulasi-spekulasi yang tidak sihat dalam pembinaan negara bangsa,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Selangor 2026 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, hari ini.

April lalu, MCMC merekodkan keterangan seorang lelaki hari ini bagi membantu siasatan berhubung kandungan jelik melampau berunsur agama, raja, dan kaum (3R) terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

MCMC dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil rakaman percakapan individu terbabit iaitu pentadbir akaun Facebook, HuaYan The Pureland Learning Centre untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, Amirudin menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu yang melakukan penghinaan terhadap Sultan Selangor dan ia disifatkan sebagai tindakan menyentuh perkauman, keagamaan dan institusi diraja (3R).

“Saya sudah minta (siasatan) dan kenyataan jelas bahawa penghinaan terhadap institusi diraja, isu 3R dan sebagainya itu wajar diambil tindakan segera.

“Itu pendirian konsisten Kerajaan Madani termasuk di Selangor, perbuatan yang mengganggu institusi diraja, mencemar kemuliaan raja-raja wajar diambil tindakan serius dan segera,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top