am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Fenomena muzik era 2000-an bakal kembali ‘menghantui’ peminat apabila kumpulan legenda Indonesia, Peterpan bakal mengadakan konsert nostalgia di Malaysia pada 11 Julai depan.
Selepas lama tidak tampil di Malaysia, pengumuman konsert “The Journey Continues – Peterpan, Semua Tentang Kita” sekali gus mengubat kerinduan peminat yang membesar dengan lagu-lagu hits kumpulan itu.
Bukan sekadar mengubat rindu, konsert di Idea Live Arena, Petaling Jaya itu dilihat akan membawa peminat kembali ke zaman lagu seperti Semua Tentang Kita, Ada Apa Denganmu dan Mimpi Yang Sempurna menjadi siulan ramai.
Menariknya, konsert itu tidak hanya menampilkan penyanyi generasi baharu Indonesia dan Malaysia, malah turut menyaksikan kemunculan semula anggota pengasas Peterpan iaitu Ilsyah Ryan Reza, Loekman Hakim, Andika Naliputra dan Indra.
Turut terbabit menjayakan persembahan itu ialah Marcello Tahitoe atau Ello, Tantri Syalindri, Rony Parulian, Arda Hatna dan penyanyi tempatan, Hael Husaini.
Wakil penganjur berkata, kekuatan sebenar Peterpan bukan hanya terletak pada lagu-lagu mereka, tetapi hubungan emosi yang terbina bersama peminat sejak lebih dua dekad lalu.
“Ada yang membesar dengan lagu Peterpan ketika zaman sekolah, ada yang mengaitkannya dengan cinta pertama dan tidak kurang juga yang menjadikan lagu mereka sebagai teman ketika melalui fasa sukar hidup.
“Sebab itu konsert ini terasa lebih peribadi buat ramai orang,” katanya.
Menurutnya, sambutan terhadap konsert itu juga disifatkan luar biasa apabila beberapa kategori tiket termasuk CAT 3 dan pakej Royal Box dikatakan habis dijual tidak lama selepas jualan dibuka pada 8 Mei lalu.
Di media sosial pula, kebanyakan peminat dilihat mula berkongsi semula kenangan lama berkaitan lagu Peterpan termasuk momen zaman remaja, cinta monyet dan perjalanan hidup mereka.
Fenomena itu sekali gus membuktikan karya Peterpan masih mempunyai tempat tersendiri dalam hati peminat walaupun peredaran muzik semasa semakin berubah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




