Presiden Croatia tolak pelantikan duta baharu Israel

Presiden Croatia tolak pelantikan duta baharu Israel
Presiden Croatia tolak pelantikan duta baharu Israel

Zoran Milanovic. Foto Agensi

ZAGREB – Presiden Croatia, Zoran Milanovic menolak pelantikan duta baharu Israel ke negara itu susulan kritikannya terhadap perang Israel di Gaza serta dasar semasa kerajaan Tel Aviv.

Pejabat Presiden Croatia dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, Milanovic tidak memberi persetujuan rasmi terhadap calon duta Israel ke Zagreb, sekali gus menghalang pelantikan itu daripada diteruskan mengikut prosedur diplomatik.

Milanovic yang lantang mengkritik tindakan ketenteraan Israel di Gaza berkata, beliau sebelum ini memilih untuk tidak mengulas perkara itu secara terbuka mengikut amalan diplomatik.

Namun, beliau mendakwa Israel melanggar ‘peraturan tidak bertulis’ apabila mengumumkan nama calon duta tersebut sebelum mendapat persetujuan rasmi Croatia.

Kementerian Luar Israel pula memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan kerajaan Croatia bagi menyelesaikan isu berkaitan status wakil diplomatik baharu Israel di Zagreb.

Hubungan antara Croatia dan Israel dilihat semakin tegang sejak konflik Gaza dan peningkatan ketegangan di Asia Barat.

Pada Februari lalu, Milanovic mengumumkan anggota tentera Croatia tidak akan bekerjasama dengan tentera Israel kerana tindakan negara itu yang didakwa melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau turut mengecam perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran pada Mac lalu dan memberi amaran bahawa usaha menukar kerajaan di Teheran boleh membawa kesan ekonomi jangka panjang.

Diplomat Israel, Nissan Amdur sebelum ini dinamakan untuk menggantikan Duta Israel, Gary Koren yang tamat tempoh perkhidmatannya pada akhir Mei.

Bagaimanapun menurut media Israel, Ynet, Amdur dijangka dihantar ke Croatia sebagai chargé d’affaires, iaitu wakil diplomatik sementara yang tidak memerlukan kelulusan Presiden.

Laporan itu turut menyebut tindakan Milanovic adalah kali pertama dalam sejarah Croatia seorang Presiden menolak pelantikan duta asing.

Milanovic bagaimanapun menegaskan keputusan memberi atau menolak persetujuan terhadap pelantikan duta adalah hak kedaulatan Presiden.

Beliau yang memegang jawatan sejak 2020 berasal daripada parti berhaluan kiri dan sering berbeza pendirian dengan kerajaan konservatif Croatia yang menyokong Israel.-Agensi

Scroll to Top