SHAH ALAM – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mengesahkan telah menerima surat tuntutan (LOD) daripada Mandiri yang diserahkan melalui Tetuan Daim & Gamany.
Beliau berkata, LOD berkenaan diterima daripada Pengarah Eksekutif Mandiri, Amir Hadi yang mewakili pertubuhan berkenaan susulan isu berkaitan kenyataannya mengenai dana asing.
“Dari sini dan seterusnya, jika mahkamah dipilih sebagai ruang untuk mencari kebenaran dan memperjelaskan perkara yang dipertikaikan, maka saya hormati proses tersebut.
“Saya kekal menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini bukanlah satu bentuk tekanan politik atau serangan terhadap kumpulan masyarakat sivil,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini Amir memaklumkan, NGO berkenaan menuntut saman RM10 juta susulan dakwaan kenyataan fitnah pada 17 Mei lalu yang mengaitkan Mandiri dengan penerimaan dana asing, dengan tujuan antara lain untuk propaganda politik, operasi tentera siber, mencatur naratif politik domestik, ancaman keselamatan negara serta proksi kepada kuasa asing.
Selain itu Amir mendakwa, Muhammad Kamil turut menyebut bahawa terdapat tujuh transaksi sebanyak RM686,729 dibuat kepada Pengarah Eksekutif Mandiri serta beberapa yang lain yang turut dikaitkan dengan Mandiri.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil sekali lagi mengulangi perkara dibangkitkan adalah bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan tertentu berkaitan penyelewengan yang telah tersebar kepada umum.
“Sepanjang ini juga, kami sering diserang dan digambarkan seolah-olah sebuah rejim yang zalim serta menindas, namun hakikatnya, ruang untuk Mandiri dan pelbagai organisasi masyarakat sivil terus bersuara, mengkritik malah menyerang samada pemimpin mahupun institusi negara tetap terbuka serta tidak pernah dihalang.
“Namun jika tindakan mahkamah menjadi pilihan untuk menyelesaikannya, maka saya tiada halangan dan berbesar hati untuk menuruti proses ini dengan sewajarnya,” ujarnya.



