BN tidak pernah khianati Kerajaan Perpaduan – Zambry

BN tidak pernah khianati Kerajaan Perpaduan – Zambry

bhnews@bh.com.my

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) menegaskan gabungan itu tidak pernah mengkhianati Kerajaan Perpaduan, sebaliknya kekal komited memelihara kestabilan negara sehingga mandat berakhir.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, gabungan itu berpendirian, persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan.

Katanya, persefahaman itu untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik berpanjangan dan persefahaman ini disepakati hingga mandat berakhir.

“Justeru, tidak timbul persoalan BN mengkhianati Kerajaan Perpaduan.

“BN akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau dipercayai susulan kritikan berterusan dalam kalangan penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa BN cuba khianat kerjasama yang terbina selama ini.

Ia susulan beberapa perkembangan semasa termasuk pengumuman BN Johor untuk bertanding di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Sebelum itu, tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Negeri Sembilan yang menarik sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut mencetuskan kritikan dalam kalangan pemimpin dan penyokong PH.

Mengulas lanjut, Zambry menegaskan BN pusat menghormati pendirian yang disuarakan BN Johor berhubung hala tuju serta persiapan gabungan itu dalam menghadapi PRN akan datang.

“(Pendirian tanding di semua kerusi DUN) selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen BN Johor,” katanya.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz sebelum ini menjelaskan pendirian kekal bertanding di semua kerusi DUN seiring mandat terdahulu yang diberi rakyat negeri itu, selain mahu meneruskan fokus membangun Johor seiring Agenda Maju Johor 2030.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top