Pengunduran UAE daripada OPEC cetus kebimbangan pengaruh kartel terhadap harga minyak

Pengunduran UAE daripada OPEC cetus kebimbangan pengaruh kartel terhadap harga minyak

Kuala Lumpur: Pengunduran Emiriah Arab Bersatu (UAE) daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menimbulkan keraguan terhadap keupayaan masa depan kartel berpengaruh itu untuk mengawal disiplin pengeluaran dan harga dalam pasaran minyak yang terus berdepan ketidakstabilan.

Rakan Pengurusan Firma Penasihat Pertukaran Asing dan Komoditi SPI Asset Management Stephen Innes berkata meskipun langkah tersebut bukan penolakan secara terang-terangan terhadap disiplin OPEC, ia memberi gambaran bahawa model lama berasaskan kuota tegar berkemungkinan tidak lagi wujud pada masa hadapan.

“Pasaran mungkin beralih secara beransur-ansur daripada pendekatan kartel yang diselaraskan secara berpusat kepada pakatan lebih longgar, dengan kerjasama yang lebih bersifat transaksional,” katanya dalam program “The World” terbitan Bernama TV bertajuk “What UAE’s exit from OPEC could mean for global oil markets” baru-baru ini.

Kalangan penganalisis berpandangan pengunduran UAE daripada OPEC berkuat kuasa 1 Mei 2026 memberi kesan segera yang tidak signifikan terhadap harga minyak mentah Brent, namun harga kembali meningkat susulan kebimbangan serius terhadap bekalan akibat sekatan di Selat Hormuz.

Setakat semalam, penanda aras utama global bagi minyak mentah, Brent, berada pada paras tinggi AS$109.23 setong (US$1=RM3.97).

Sementara itu, menjawab soalan hos Bernama TV Pasha Rahim Innes berkata keputusan UAE keluar daripada OPEC didorong keinginan negara itu untuk meraih pulangan daripada pelaburan minyaknya yang mencecah berbilion dolar.

Beliau berkata UAE, telah bertahun-tahun meningkatkan kapasiti pengeluaran secara agresif serta memperluas infrastruktur minyak, dan kini mahu “menjana keuntungan daripada rizab minyak yang dimiliki.”

“Pengunduran UAE ini penting bukan semata-mata kerana jumlah pengeluaran negara itu, tetapi lebih kepada mesej yang disampaikan mengenai keadaan dalam OPEC sendiri,” katanya.

OPEC dibina berasaskan disiplin kolektif, namun pada hakikatnya hari ini, menyaksikan beberapa negara pengeluar beroperasi di bawah keperluan ekonomi dan geopolitik yang berbeza.

“Bibit ketegangan dalam OPEC sebenarnya sudah mula terbentuk sejak setahun lepas apabila negara pengeluar mula menolak kuota masing-masing dan mahu mengeluarkan lebih banyak minyak berbanding had yang ditetapkan.

“Dalam tempoh akan datang, mereka dijangka lebih mengutamakan strategi domestik berbanding disiplin kuota secara kolektif,” katanya.

Beliau berkata harga minyak dijangka menjadi lebih tidak menentu secara struktur dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang serta lebih sensitif terhadap faktor politik, berbanding tempoh panjang kestabilan yang sebelum ini disokong disiplin kolektif negara pengeluar.

Sebelum pengunduran UAE, OPEC dianggotai oleh 12 negara pengeluar minyak, dengan pemain utama yang terdiri daripada Arab Saudi, UAE, Iran, Iraq dan Kuwait.

Pakatan yang diperluas, dikenali sebagai OPEC+ telah ditubuhkan pada 2016, melibatkan negara pengeluar minyak bukan anggota OPEC termasuk pengeluar ketiga terbesar dunia iaitu Rusia serta Malaysia.

Menurut Innes, Abu Dhabi benar-benar serius apabila menyentuh mengenai fleksibiliti, tetapi perkara paling penting adalah perubahan ke arah sistem yang lebih fleksibel.

Beliau berkata model tradisional OPEC diwujudkan semasa OPEC boleh mengawal harga minyak dengan mengawal pengeluaran, namun pada masa ini, pasaran minyak dunia semakin tidak bersatu.

Pada masa ini pengeluar perlu mengimbangkan keselamatan tenaga, kepelbagaian fiskal, penyepaduan pelaburan asing dalam penapisan minyak serta pengaruh geopolitik secara serentak.

Bagaimanapun, beliau berkata OPEC (dan OPEC+) amat penting dalam pasaran minyak dunia memandangkan Arab Saudi dan Rusia kekal sebagai dua tonggak utama dalam pengurusan rantaian bekalan global.

Menurutnya pada masa hadapan OPEC boleh memainkan peranan sebagai mekanisme panduan berbanding hanya menjadi pihak yang menentukan harga.

Pasaran minyak, katanya cenderung tidak selesa dengan ketidaktentuan berkaitan penyelarasan bekalan memandangkan dasar pengeluaran kolektif selama ini menjadi sandaran utama pasaran.

Pada masa hadapan, beliau berkata reaksi yang lebih kuat mungkin berlaku terhadap data inventori, ketegangan geopolitik, gangguan operasi kilang penapisan serta isyarat permintaan makroekonomi.

“Kita mungkin melihat julat dagangan yang lebih luas dan perubahan kedudukan dagangan yang lebih agresif, khususnya bagi minyak Brent.

“Bagaimanapun, keadaan ini akan menjadi cabaran besar kepada ahli politik yang benar-benar mahu melihat harga minyak dan turun naik harganya dikawal supaya mereka boleh merangka belanjawan negara dengan lebih mantap,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top