Ibu bapa perlu hadkan penggunaan gajet anak, elak leka media sosial

Ibu bapa perlu hadkan penggunaan gajet anak, elak leka media sosial

syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mengehadkan penggunaan gajet dan menggalakkan aktiviti fizikal serta kreatif bagi mengelakkan kanak-kanak terlalu leka dengan Internet serta media sosial.

Suri rumah, Erna Norsyita Mohd Jizan, 42, berkata, kempen seperti Internet Selamat wajar diperluaskan kerana mampu meningkatkan kesedaran ibu bapa berkenaan kepentingan memantau penggunaan Internet dalam kalangan kanak-kanak bawah umur.

Katanya, ibu bapa boleh menggunakan ‘kids mode’ atau ‘parental control’ untuk mengehadkan penggunaan Internet dalam kalangan anak-anak termasuk mengawal apa yang mereka lihat.

“Sebagai seorang suri rumah, saya akan pastikan penggunaan telefon mahupun gajet hanya di manfaat selama satu ke dua jam sehari dan hanya guna ketika sesi pembelajaran yang berkaitan sahaja.

“Contohnya, untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik, saya menggunakan aplikasi tertentu bagi menambah baik kelemahan subjek itu,” katanya kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, seorang pengurus pemasaran syarikat swasta, Arif Aiman Ahmad Lela, 37, berkata, dia memperbanyakkan aktiviti kegemaran anak perempuannya seperti melukis, berenang dan berbasikal bagi mengurangkan kebergantungan terhadap gajet.

Katanya, anaknya kini lebih gemarkan aktiviti berkenaan dan kurang menggunakan gajet selepas dia mengehadkan tontonan televisyen terutama pada sebelah malam bagi mengelakkan anak menjadi tantrum.

“Namun, ibu bapa juga perlu turut serta melakukan aktiviti bersama anak-anak kerana ia bukan sahaja dapat mengurangkan penggunaan televisyen dan Internet, malah membantu mereka mempelajari perkara baharu serta membesar dengan lebih sihat daripada segi perkembangan mental dan emosi.

“Sebagai bapa, saya sedar sekarang banyak cabarannya membesarkan anak-anak dalam dunia teknologi…jadi sebab itu saya dan isteri akan selalu luangkan masa tambah lagi setiap hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada empat cahaya mata, Siti Hajar Rosnany Johari, 33, berkata, kempen berkenaan sangat penting bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap risiko penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak seperti buli siber, penipuan, kandungan tidak sesuai dan ketagihan gajet.

Katanya, dia sentiasa memantau penggunaan telefon, Internet dan media sosial anak-anaknya dengan menetapkan had penggunaan gajet selain memastikan mereka tidak berkongsi maklumat peribadi dengan individu tidak dikenali.

“Selain memperbanyakkan kempen di media sosial, boleh banyakkan juga ceramah atau program kesedaran di sekolah serta komuniti perlu diadakan supaya ibu bapa lebih peka mengenai kepentingan memantau aktiviti anak-anak di internet,” katanya.

Kempen Internet Selamat dilihat sebagai medium berkesan dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan memantau penggunaan internet dan gajet dalam kalangan kanak-kanak bawah umur bagi melindungi mereka daripada terdedah kepada kandungan tidak sesuai di media sosial.

Difahamkan, kempen itu mula dilaksanakan tahun lalu membabitkan 8,979 sekolah di seluruh negara dengan penyertaan seramai 420,290 pelajar, manakala fokus tahun ini diperluaskan kepada komuniti termasuk aspek pemantauan aktiviti anak-anak di media sosial oleh ibu bapa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top