Rafizi sasar anak muda, penghuni bandar, kaum Cina sokong parti Bersama- Ilham Center

Rafizi sasar anak muda, penghuni bandar, kaum Cina sokong parti Bersama- Ilham Center

SHAH ALAM – Tiga kelompok masyarakat dijangka menjadi sasaran utama bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli dalam usaha meraih sokongan terhadap parti politik baharu yang dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (MU).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, kelompok tersebut terdiri daripada golongan muda, penghuni bandar dan kaum Cina.

Menurutnya, pengundi muda kini mewakili lebih 52 peratus daripada keseluruhan pengundi di peringkat nasional, sekali gus menjadikan kelompok itu faktor penentu dalam sesuatu pilihan raya.

“Sekiranya majoriti pengundi muda berusia bawah 40 tahun memilih sesebuah parti atau gabungan politik, parti tersebut mempunyai peluang besar untuk memenangi kerusi yang ditandingi.

“Tambahan pula, jika berlaku pertandingan berbilang penjuru, khususnya di kawasan bandar, sesebuah parti tidak memerlukan undi terlalu besar untuk menang.

“Seperti yang berlaku di Sabah, sekitar 28 hingga 29 peratus undi sudah memadai untuk melepasi garis kemenangan,” katanya ketika menjadi panel jemputan dalam Interviu.

Program yang diadakan pada Isnin di Studio F Karangkraf itu mengetengahkan tajuk ‘Kuasa ketiga dan langkah Rafizi’.

Sebelum ini, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti MU.

Penyerahan parti yang akan diterajui kedua-dua bekas menteri itu dilaksanakan pada majlis pengumuman hala tuju politik mereka pada Ahad.

Secara tidak langsung, simbolik tersebut telah menjawab persoalan sejak beberapa minggu lalu mengenai hala tuju politik Rafizi dan Nik Nazmi selepas ‘disisihkan’ PKR setahun lalu.

Sebagai rekod, MU merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.

Tambah Hisommudin, dalam masa sama Rafizi juga dilihat cuba menawarkan ‘alternatif sebenar’ kepada pengundi yang mahu mencari pilihan selain parti kerajaan sedia ada.

“Situasi ini dapat dilihat dalam Pilihan Raya Negeri Sabah apabila pengundi Cina di kawasan bandar memberi sokongan kepada Warisan sebagai bentuk protes terhadap kerajaan perpaduan melibatkan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Hasilnya, Warisan memperoleh kelebihan di beberapa kerusi bandar. Jadi, saya melihat Rafizi sangat fokus kepada kelompok pengundi tersebut,”ulasnya.

Scroll to Top