Kaji semula kemasukan lepasan UEC ke IPTA – Pemenang

Kaji semula kemasukan lepasan UEC ke IPTA – Pemenang

GEORGE TOWN – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan membenarkan lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, ini kerana akan memberi implikasi besar terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan selain bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, isu UEC bukan baharu sebaliknya telah berakar sejak sekian lama dalam perbahasan mengenai hala tuju sistem pendidikan negara khususnya melibatkan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai teras utama pembinaan negara bangsa.

UEC yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Persendirian Cina tidak sepenuhnya selari dengan kurikulum kebangsaan kerana menggunakan silibus tersendiri termasuk rujukan luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemasukan pelajar UEC ke IPTA kekal bersyarat, wajib lulus BM, Sejarah – PM

ARTIKEL BERKAITAN: UEC: Negara tidak boleh korbankan falsafah pendidikan kebangsaan atas nama keterbukaan

Beliau turut mengaitkan sejarah penubuhan Dong Zong pada tahun 1954 yang berperanan menyelaras sekolah-sekolah menengah persendirian Cina serta peperiksaan UEC, selain mendakwa wujud penentangan terhadap pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan sejak era Laporan Pelajaran Rahman Talib 1960 dan Akta Pendidikan 1961.

“Selepas pelaksanaan Akta Pendidikan 1961, kerajaan ketika itu telah menghentikan peperiksaan menengah tertentu bagi sekolah aliran Cina demi penyelarasan sistem pendidikan nasional.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama perlu dipertahankan tanpa kompromi kerana ia asas kepada perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, langkah kerajaan yang membuka ruang kepada lepasan UEC memasuki IPTA dengan beberapa syarat dilihat idak selari dengan prinsip asal sistem pendidikan kebangsaan.

“Kementerian Pengajian Tinggi menjadikan kemasukan pelajar-pelajar maahad tahfiz sama seperti calon-calon UEC sedangkan kita tahu pelajar-pelajar maahad tahfiz telah lama berada dalam sistem Dasar Pendidikan Kebangsaan dan mereka juga menduduki SPM.

“Lebih membimbangkan, alasan kerajaan bahawa kemasukan tersebut bukan pengiktirafan terhadap UEC adalah tidak konsisten dan mengelirukan masyarakat,” ujarnya.

Mohd Yusoff menambah, sebarang dasar pendidikan negara perlu berlandaskan semangat Perlembagaan dan tidak menjejaskan asas pembinaan negara bangsa khususnya peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak perpaduan.

“Pengiktirafan secara tidak langsung terhadap UEC berpotensi memberi kesan terhadap perpaduan rakyat serta mencabar dasar pendidikan sedia ada.

“Oleh itu, Pemenang menggesa kerajaan supaya mengkaji semula keputusan berkenaan secara menyeluruh dengan mengambil kira aspek Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

“Sekiranya tiada tindakan daripada kerajaan, Pemenang akan membawa perkara ini ke peringkat Mesyuarat NGO-NGO Melayu serta mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi mencabar keputusan kerajaan,” ujarnya lagi.

Scroll to Top