
Zakaria pada sidang media selepas Majlis APC JIM 2025 di Putrajaya pada Selasa.
PUTRAJAYA – Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu yang akan mula dikeluarkan pada 1 Jun depan dilengkapi 94 ciri keselamatan bagi memperkukuh tahap keselamatan dokumen perjalanan negara itu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, antara ciri keselamatan tambahan yang diperkenalkan termasuk hologram, cetakan sinaran ultraungu (UV) serta ciri keselamatan pada benang jahitan pasport.
Menurutnya, PMA sedia ada hanya mempunyai 49 ciri keselamatan, namun versi terbaharu hampir satu kali ganda iaitu 94 ciri keselamatan bagi memastikan pasport Malaysia lebih sukar dipalsukan.
“Kita bermula secara berperingkat pada 1 Jun di empat pejabat dahulu iaitu Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Pejabat Imigresen Kuala Lumpur, Pejabat Pasport Pusat Transformasi Bandar (UTC) Wangsa Maju serta Pejabat Imigresen Shah Alam.
“Kemudian kita akan susuli secara berperingkat ke seluruh pejabat cawangan pada penghujung Julai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia bagi Tahun 2025 di sini pada Selasa.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, pasport lama masih sah sekiranya masih dalam tempoh sah laku.
“Usah tergesa-gesa untuk menukar pasport baharu dan beri peluang kepada JIM untuk ‘roll out’ secara berperingkat.
“Perkara ini perlu dimaklumkan agar orang ramai tidak berebut datang ke pejabat imigresen untuk perbaharui pasport baharu. Harap mesej ini sampai kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zakaria turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menggunakan gambar yang dihasilkan menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) apabila membuat permohonan secara dalam talian.
“Kita ada terima beberapa kes sebegini,” katanya.



