KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM27.73 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (S1 2026), meningkat 51 peratus daripada RM18.31 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun 2025.
Selaras dengan tahun-tahun sebelumnya, jumlah ini merangkumi keuntungan dan kerugian belum direalisasikan berasaskan penilaian mark-to-market ke atas sekuriti, yang disebabkan terutamanya daripada turun naik kadar pertukaran asing.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pendapatan suku pertama KWSP yang kukuh mencerminkan keputusan portfolio yang diambil pada awal tahun ini untuk merealisasikan keuntungan berikutan jangkaan bahawa ketidaktentuan pasaran akan berlaku.
Menurut beliau, pengurus portfolio telah mempercepatkan penjanaan pendapatan yang sepatutnya diagihkan sepanjang tahun. Ahli tidak seharusnya menjadikan prestasi suku ini sebagai petunjuk bagi tempoh seterusnya kerana pencapaian sebegini berkemungkinan tidak akan berulang pada suku-suku akan datang.
“Portfolio asas terus diurus untuk pulangan jangka panjang yang mampan dan bukannya pencapaian jangka pendek.
“Persekitaran pada masa hadapan kekal mencabar. Risiko geopolitik yang tinggi, kenaikan harga minyak dan tekanan inflasi yang kembali meningkat mewujudkan cabaran besar kepada pasaran global.
“Tindakan awal yang diambil membolehkan kami memasuki tempoh ketidaktentuan ini dalam kedudukan yang kukuh. Keutamaan kini adalah pemeliharaan modal dan pelaksanaan pelaburan secara berdisiplin bagi memastikan kecukupan dan kemampanan simpanan persaraan untuk 18 juta ahli kami dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Berhubung prestasi suku pertama (setakat 31 Mac 2026), Pendapatan Ekuiti dilapor meningkat sebanyak 88 peratus daripada RM10.80 bilion pada S1 2025 kepada RM20.34 bilion pada S1 2026.
Peningkatan ini didorong oleh keuntungan pasaran yang meluas pada awal suku berikutan sentimen pelabur yang semakin baik telah mendorong kenaikan kebanyakan indeks utama.
Walau bagaimanapun, momentum ini mula mereda pada bulan Mac apabila ketegangan geopolitik yang semakin memuncak serta ketidaktentuan global mencetuskan peningkatan volatiliti pasaran.
Sementara itu, Instrumen Pendapatan Tetap menyumbang sebanyak RM6.76 bilion, merangkumi 24 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan pada S1 2026.
Kelas aset ini, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, terus memberikan pulangan yang stabil dan berdaya tahan, berperanan sebagai komponen defensif utama dalam portfolio ketika berdepan ketidaktentuan pasaran.
Berikutnya, Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan sebanyak RM0.19 bilion pada S1 2026, manakala instrumen Pasaran Wang mencatatkan keuntungan sebanyak RM0.44 bilion, selaras dengan jangkaan pulangan bagi kelas aset masing-masing.
Bagi Pendapatan Pelaburan dan Kepelbagaian Portfolio, jumlah aset pelaburan mencecah RM1.44 trilion, yang mana 36 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global.
Pelaburan antarabangsa menjana RM15.36 bilion, merangkumi 55 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut, sekali gus menekankan kepentingan kepelbagaian geografi dalam meningkatkan pulangan dan mengurus risiko portfolio.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah pula masing-masing adalah RM22.63 bilion dan RM5.10 bilion.
Dalam pada itu, pertumbuhan keahlian dan penyertaan aktif menyaksikan KWSP merekodkan 220,925 ahli baharu pada S1 2026, menjadikan jumlah keahlian meningkat melebihi 18.3 juta.
Ahli aktif meningkat kepada 10.8 juta, dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41. Bilangan majikan aktif pula meningkat kepada 642,609 setakat Mac 2026, susulan 19,956 pendaftaran baharu sepanjang suku tahun tersebut.
Jumlah caruman turut meningkat sebanyak 13.3 peratus kepada RM38.01 bilion pada S1 2026, berbanding RM33.54 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Caruman sukarela pula terus mencatat momentum positif, meningkat kepada RM8.83 bilion bagi suku tersebut.
Ini menunjukkan penyertaan berterusan ahli dalam simpanan sukarela, disokong oleh platform digital KWSP yang membolehkan caruman dibuat secara mudah dan lancar.
Sementara itu, bilangan ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun melalui i-Topup meningkat 19.8 peratus kepada 232,305.



