mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Dua anggota unit peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima sijil penghargaan selepas berjaya menahan suspek dan merampas dadah 79,000 gram bernilai lebih RM3.9 juta dalam satu operasi di sekitar daerah Ampang Jaya.
Sijil penghargaan itu disampaikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan kepada Lans Koperal Muhamad Zailan Abdullah dan Konstabel Idris Yausof atas keberanian, kecekapan serta dedikasi tinggi yang dipamerkan ketika melaksanakan tugas.
JSJN dalam kenyataan berkata, pengiktirafan itu diberikan susulan tindakan pantas dan profesional kedua-dua anggota terbabit yang membawa kepada kejayaan menahan seorang suspek serta merampas dadah disyaki syabu dengan anggaran berat sebanyak 79,000 gram bernilai lebih RM3.9 juta dalam satu operasi di sekitar daerah Ampang Jaya.
Menurutnya, kejayaan itu sekali gus membantu usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah serta mengekang ancaman jenayah narkotik daripada terus menular dalam masyarakat.
“Majlis ini turut mencerminkan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia dalam menghargai jasa serta pengorbanan warga pasukan yang menunjukkan tahap profesionalisme, integriti dan komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah diminta menyalurkannya kepada pihak polis melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.
Turut hadir,Timbalan Pengarah Narkotik (Pelucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan), Deputi Komisioner Mohd Zani Che Din; Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan/Pencegahan/Kepolisan Am (PPKA), Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin; wakil Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Asisten Komisioner Fazidah Mohd Yusoff; Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Mohd Faisal Mohd Noor; Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid; dan Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Deputi Superintendan Wong Hui Leng.
© New Straits Times Press (M) Bhd




