Rakaman video tunjuk tentera Israel lepaskan tembakan ke arah kapal GSF

Rakaman video tunjuk tentera Israel lepaskan tembakan ke arah kapal GSF

Kuala Lumpur: Tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sekurang-kurangnya dua kapal yang belayar dalam flotila bantuan menuju Gaza pada Selasa, menurut rakaman video dan penganjur flotila itu, namun tiada laporan mengenai sebarang kemalangan jiwa, lapor Reuters.

Video daripada siaran langsung flotila itu menunjukkan tentera melepaskan tembakan ke arah dua kapal berkenaan, namun jenis peluru yang digunakan tidak dapat dipastikan.

Seorang lagi jurucakap flotila itu berkata enam kapal telah ditembak.

Tentera Israel enggan mengulas lanjut dan merujuk Reuters kepada kementerian luar negara itu.

Jurucakap kementerian luar berkenaan tidak segera menjawab pertanyaan Reuters.

Penganjur memaklumkan bahawa tentera Israel telah memintas 44 daripada kapal mereka di timur Laut Mediterranean dan enam kapal masih meneruskan pelayaran.

Kementerian Luar Israel pada Isnin berkata menerusi platform X bahawa ia “tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran terhadap sekatan laut yang sah ke atas Gaza.”

Berucap di Ankara lewat Isnin, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengecam campur tangan terhadap “pelayar harapan” dalam flotila itu dan menggesa masyarakat antarabangsa bertindak terhadap tindakan Israel.

Kapal Global Sumud Flotilla (GSF) berlepas buat kali ketiga pada Khamis dari selatan Turkiye selepas percubaan terdahulu menghantar bantuan ke Gaza dipintas Israel di perairan antarabangsa.

Kumpulan itu sebelum ini memaklumkan seramai 426 individu dari 39 negara menyertai flotila berkenaan.

Kementerian Luar Israel turut menggesa “semua peserta dalam provokasi ini supaya mengubah haluan dan berpatah balik segera.”

Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memaklumkan bahawa pihaknya mengenakan sekatan terhadap empat individu yang dikaitkan dengan flotila yang disifatkannya sebagai “pro-Hamas”.

Aktivis pro-Palestin berkata Israel dan AS secara salah menyamakan sokongan mereka terhadap hak rakyat Palestin sebagai sokongan kepada Hamas.

Rakyat Palestin dan badan bantuan antarabangsa berkata bekalan yang tiba di Gaza masih tidak mencukupi walaupun gencatan senjata dicapai pada Oktober lalu yang turut merangkumi jaminan peningkatan bantuan.

Sebahagian besar daripada lebih dua juta penduduk Gaza telah dipindahkan, dengan ramai kini tinggal di rumah yang musnah akibat pengeboman dan khemah sementara yang didirikan di kawasan lapang, tepi jalan atau di atas runtuhan bangunan yang musnah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top