'Gaya santai Ghea seolah-olah berbual dengan rakan lama'

'Gaya santai Ghea seolah-olah berbual dengan rakan lama'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Dalam industri muzik yang sering kali didominasi oleh gimik keterlaluan demi meraih perhatian, penyanyi Indonesia Ghea Indrawari hadir dengan formula berbeza.

Baginya, kejujuran dalam berkarya dan keikhlasan menyampaikan rasa adalah senjata paling kuat untuk memikat hati pendengar.

Impian Ghea untuk bertemu peminat di Malaysia akhirnya terlaksana menerusi konsert solo istimewa, Ghea Indrawari: Rasi Jiwa – Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kehadiran lebih 1,200 penonton membuktikan bahawa popularitinya bukan sekadar bersandar pada angka penstriman digital semata-mata, sebaliknya satu pengiktirafan terhadap kualiti seninya.

Konsert anjuran Semangat Zaman Music & Entertainment itu berjaya menghimpunkan peminat setia yang menggelarkan diri mereka sebagai Ghealways.

Apa yang menarik perhatian adalah kesederhanaan persembahannya yang tetap mampu menyuntik emosi mendalam tanpa perlu produksi yang terlalu gah atau berlebihan.

Membuka tirai dengan lagu Rasa Cinta Ini, Ghea segera memikat suasana. Sejak nota pertama dimainkan, dewan sudah pun bergema dengan suara penonton yang menyanyi bersama.

Ia diteruskan dengan rangkaian karya popular lain seperti Malaikat dan Bucketlist. Vokal Ghea yang lunak dan stabil sepanjang malam menjadi bukti kematangannya sebagai seorang penghibur profesional.

“Ada konsert yang meninggalkan keterujaan sementara, namun ada juga persembahan yang meninggalkan rasa yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Itulah yang berjaya dihadirkan Ghea menerusi Rasi Jiwa,” katanya.

Aspek teknikal juga memainkan peranan penting dalam menghidupkan ‘nyawa’ pada konsert ini. Permainan pencahayaan seolah-olah memahami setiap bait lirik yang disampaikan.

Contohnya, ketika lagu Terima Kasih Sudah Bertahan dinyanyikan, ruang dewan dibanjiri cahaya putih malap dan limpahan lampu telefon bimbit peminat, mencipta visual yang cukup menyentuh jiwa.

Pencahayaan pada malam itu bukan sekadar elemen teknikal, tetapi instrumen emosi.

Dari segi audio, kualiti bunyi di Zepp Kuala Lumpur kekal berada di tahap terbaik dengan adunan muzik langsung tidak menenggelamkan vokal lembut Ghea.

Setiap lapisan instrumen, daripada petikan gitar akustik hinggalah dentuman drum, dikawal dengan kemas, memberi ruang secukupnya untuk vokal Ghea ‘bernafas’ dan sampai ke telinga penonton dengan jernih.

Detik yang paling meruntuh jiwa sewaktu segmen Ghea membacakan surat buat dirinya yang lebih muda. Dalam suasana dewan yang sunyi sepi, dia menyampaikan lagu Masa Mudaku Habis dan Berdamai.

Kesunyian itu sendiri menjadi sebahagian daripada komposisi persembahan, membenarkan setiap patah kata yang keluar daripada bibirnya dirasai oleh mereka yang hadir.

Namun, Ghea bijak mengawal dinamika persembahan agar tidak terus hanyut dalam kesedihan. Suasana kembali rancak dan bertenaga menerusi lagu-lagu seperti Oh Tuhan!, 1000X, Tadi Malam dan Kamu Anggap Apa.

Interaksi spontan dan peribadinya yang bersahaja membuatkan penonton rasa dekat dengannya, seolah-olah sedang berkongsi cerita dengan rakan lama di sebuah ruang yang intim.

Sebagai kejutan, Ghea turut menayangkan video eksklusif lagu baharunya berjudul Daun Daun.

Walaupun hanya melalui paparan skrin, ia tetap menerima tumpuan penuh penonton yang teruja menantikan karya terbaharunya itu.

Kemuncak malam pastinya milik lagu fenomena, Teramini dan Jiwa Yang Bersedih. Sorakan peminat memuncak dan hampir keseluruhan penonton menyanyi dengan penuh perasaan, malah ada yang tidak mampu menahan air mata.

Jiwa Yang Bersedih bukan sekadar sebuah lagu popular, tetapi menjadi lagu tema bagi mereka yang sedang bergelut dengan kelelahan hidup dan tekanan perasaan.

Sebelum melabuhkan tirai dengan lagu Manusia Paling Bahagia, Ghea sempat menitipkan pesan buat semua peminat agar terus kuat.

Dia mengajak penonton berdiri bersama, menamatkan malam yang penuh emosi itu dengan nota harapan yang ceria.

Selepas hampir dua jam, konsert Rasi Jiwa berakhir dengan senyuman puas terpancar pada wajah setiap Ghealways yang hadir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top