am@hmetro.com.my
Penyanyi baharu, Athierah terus mengorak langkah dalam industri muzik tempatan apabila tampil dengan single sulung berjudul Berdiri.
Naskhah yang disifatkan cukup dekat dengan perjalanan hidup serta pengalaman peribadinya sebagai anak seni.
Athierah atau nama sebenarnya Nor Athierah Aqielah Nor Azman berkata, lagu berkenaan membawa mesej mengenai kekuatan diri, keberanian untuk bangkit dan semangat untuk terus melangkah walaupun pernah melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Menurut penyanyi berusia 22 tahun itu, dia terus tertarik dengan karya terbabit sebaik pertama kali mendengar melodi dan susunan muziknya kerana merasakan ada kaitan rapat dengan dirinya.
“Bagi saya, lagu Berdiri sangat istimewa sebab mesej yang dibawa memang dekat dengan diri saya. Lagu ini berkisarkan tentang kekuatan diri dan bagaimana kita bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup.
“Bila pertama kali dengar muzik dan melodi lagu ini, saya terus rasa bersemangat dan yakin lagu ini mempunyai sesuatu yang boleh sampai kepada pendengar,” katanya.
Menariknya, single diterbitkan oleh Inisiatif Seni Kreatif itu turut menemukan Athierah dengan komposer terkenal Ajai yang disifatkannya sebagai satu pengalaman besar dalam perjalanan seninya.
Menurut Athierah, dia banyak mempelajari perkara baharu sepanjang proses rakaman terutama membabitkan cara penyampaian emosi dan penghayatan sesebuah lagu.
“Bekerja dengan Uncle Ajai memang satu pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila. Banyak perkara yang saya belajar daripada beliau terutama bagaimana untuk menyampaikan emosi dalam lagu dengan lebih jujur dan tepat.
“Uncle Ajai juga sangat teliti ketika proses rakaman. Kadang-kadang perkara kecil pun diberi perhatian supaya hasil akhirnya benar-benar memberi kesan kepada pendengar.
“Dari situ saya belajar bahawa menyanyi bukan sekadar mengenai vokal, tetapi juga mengenai rasa dan jiwa,” kata Athierah yang mendedahkan minat terhadap nyanyian sudah bermula sejak kecil lagi apabila dia aktif membuat persembahan dan menyertai pelbagai aktiviti seni.
Bercerita lebih lanjut perjalanan untuk serius dalam industri hiburan bukan sesuatu yang mudah kerana dia juga pernah melalui fasa jatuh bangun sebelum diberi peluang merakamkan lagu sendiri.
“Untuk sampai ke tahap sekarang, saya lalui macam-macam pengalaman dan cabaran juga.
“Jadi bila diberi peluang untuk merakamkan lagu Berdiri, saya rasa sangat bersyukur sebab ini peluang yang sangat besar buat saya.
“Tambahan pula dapat bekerjasama dengan Uncle Ajai, memang satu pengalaman yang cukup bermakna,” katanya.
Dalam masa sama, Athierah turut menyedari industri muzik kini semakin kompetitif sehingga membuatkan dirinya mahu terus belajar dan memperbaiki diri sebagai seorang penghibur.
Katanya, dia juga berharap dapat menghasilkan lebih banyak karya selepas ini selain mahu mencabar diri meneroka pelbagai genre muzik bagi mencari identiti tersendiri.
Selain aktif dalam bidang nyanyian, Athierah kini turut melanjutkan pengajian dalam jurusan Teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Menurutnya, dunia teater banyak membantu meningkatkan keyakinan diri selain memberi pemahaman lebih mendalam mengenai ekspresi emosi dan cara membawa diri ketika membuat persembahan di atas pentas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




