Liverpool: Liverpool dan Everton terpaksa berpuas hati dengan berkongsi mata apabila terikat 1-1 dalam aksi derby Merseyside ke-249 yang berlangsung di Stadium Hill Dickinson, sebentar tadi.
Baca juga: Wanita Jepun maut terjatuh dari balkoni KLIA Terminal 2
Jaringan awal menarik Dominik Szoboszlai memberikan kelebihan kepada Liverpool sebelum gol sendiri Jeremie Frimpong membantu Everton menyamakan kedudukan, namun tiada pasukan berjaya menemui gol kemenangan.
Keputusan itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga keempat dengan 22 mata, manakala Everton menghuni kedudukan kelapan dengan 17 mata.
The Reds membuka tirai jaringan seawal minit kelima apabila benteng Everton gagal mengeluarkan bola dari kawasan penalti sebelum Florian Wirtz pantas menyambar bola dan melorongkannya kepada Szoboszlai.
Pemain tengah Hungary itu kemudian melepaskan rembatan menarik menggunakan bahagian luar kaki yang menewaskan penjaga gol Jordan Pickford.
Everton bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-25 menerusi gol sendiri Frimpong.
Situasi itu bermula daripada hantaran berbahaya Kiernan Dewsbury-Hall menerusi sepakan percuma yang mencetuskan kekalutan di kawasan penalti Liverpool sebelum Frimpong yang cuba menghalang bola secara tidak sengaja tertolak bola ke gawang sendiri.
Perlawanan itu membuka tirai aksi sibuk Liga Perdana Inggeris (EPL) hari ini dengan enam perlawanan dijadualkan berlangsung.
Pendahulu liga, Arsenal akan menerima kunjungan Manchester City yang berada di tangga ketiga dan ketinggalan enam mata dalam perlawanan tumpuan malam ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd