Tragedi San Diego: Tiga Muslim gugur sebagai wira

Tragedi San Diego: Tiga Muslim gugur sebagai wira
Tragedi San Diego: Tiga Muslim gugur sebagai wira

Anggota penguatkuasa undang-undang mengawal dan menutup kawasan kejadian tembakan di Pusat Islam San Diego (ICSD) di San Diego, California – Foto:AFP

SAN DIEGO – Jemaah dan pemimpin Islam tempatan menyifatkan tiga lelaki Muslim yang terkorban dalam insiden tembakan tragis di Islamic Center of San Diego, California, pada Isnin sebagai wira kerana sanggup mengorbankan nyawa demi menyelamatkan orang lain.

Tindakan berani ketiga-tiga mangsa yang dikenal pasti sebagai Amin Abdullah, Mansour Kaziha dan Nader Awad dilaporkan berjaya menghalang pertumpahan darah lebih besar, terutama membabitkan kanak-kanak yang berada di pusat berkenaan.

Siasatan mendapati pengawal keselamatan pusat itu, Amin Abdullah, tetap mengutamakan keselamatan jemaah lain meskipun dirinya mengalami kecederaan parah akibat ditembak.

Seorang jiran yang menyaksikan kejadian, Vanessa Chavez, mengesahkan Amin ditembak sekurang-kurangnya dua kali sehingga terjatuh.

Bagaimanapun, menurutnya, mangsa bangun semula sebelum masuk ke dalam bangunan bagi memberi amaran kepada orang lain.

Tindakan pantas Amin bersama Mansour yang juga pengurus kedai masjid serta Nader selaku ahli komuniti memberi masa kritikal kepada jemaah dan pelajar sekolah agama di situ untuk bersembunyi dan menyelamatkan diri.

Dalam pada itu, pihak polis mendedahkan serangan berkenaan dilakukan dua remaja lelaki berusia 17 dan 18 tahun yang dikenal pasti sebagai Cain Clark dan Caleb Vazquez.

Sebelum kejadian, ibu kepada seorang suspek dilaporkan menghubungi talian kecemasan 911 bagi memaklumkan anaknya melarikan diri dari rumah bersama beberapa senjata api milik keluarga selain mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

Ketua Polis San Diego, Scott Wahl, mengesahkan kedua-dua suspek ditemui meninggal dunia akibat membunuh diri di dalam sebuah kenderaan beberapa blok dari lokasi kejadian sejurus selepas melancarkan serangan itu.

Pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan polis tempatan kini mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai jenayah kebencian susulan penemuan nota bunuh diri serta dokumen berunsur anti-Islam di dalam kenderaan suspek.

Penemuan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai peningkatan isu Islamofobia di Amerika Syarikat.

Scroll to Top