nurul_husna@mediaprima.com.my
“MINAT terhadap haiwan serta reptilia tidak lengkap jika tidak memiliki ular jagung,” kata pengasas ‘ThirtyOne Exotics’ Ahmad Hafizi Ahmad Zaini.
“Ular jagung antara pilihan untuk dipelihara dan ia sangat popular dalam kalangan peminat kerana memiliki ratusan warna dan corak atau lebih dikenali sebagai ‘morphs’,” katanya lagi.
Menurut Ahmad Hafizi, reputasi ular jagung masih kekal menjadi pilihan dalam kalangan peminat reptilia.
“Ular jagung juga tidak memerlukan permit seperti jika kita mahu memelihara ular sawa.
“Malah, penjagaan ular jagung cukup mudah dan tidak memerlukan kandang atau ruang besar,” katanya.
Tambah Ahmad Hafizi, makanan untuk ular jagung juga tidak rumit, malah ia hanya makan seminggu sekali.
Berkongsi berkaitan cabaran penjagaan ular itu, kata Ahmad Hafizi, ia mungkin hanya membabitkan penyediaan diet reptilia terbabit.
“Bagi yang pertama kali memelihara ular jagung, mereka perlu tahu, asas penting untuk ular hidup ialah makanan.
“Cabaran ialah ular jagung bersaiz kecil. Untuk makanan, boleh dapatkan tikus bersaiz kecil untuk diberikan kepadanya kerana ia makanan ruji reptilia itu.
“Lebih kecil saiz ular, lebih kecil saiz tikus yang diperlukan. Kebanyakan pemilik berdepan dilema ini dan saya sendiri pelihara tikus untuk diberi kepada ular kesayangan,” katanya.
Menurut Ahmad Hafizi yang turut menyediakan perkhidmatan zoo bergerak ke sekolah berkata, ular jagung masih sesuai dikendali di peringkat kanak-kanak.
“Berbanding geli dan takut, kanak-kanak di sekolah sangat teruja untuk bermain dengan ular jagung.
“Ular jagung tidak berbisa namun saya tetap mengendalikannya dengan teliti demi keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak sekolah,” katanya.
Kebanyakan ular spesies ini jarang menggigit atau membelit kuat menjadikan ia ideal sebagai haiwan peliharaan.
“Saya memelihara lapan ekor ular jagung pelbagai saiz dan semuanya tidak menggigit atau membelit terlalu kuat,” katanya.
Tambah Ahmad Hafizi, ular jagung antara reptilia yang mampu milik.
“Peminat ular boleh berjinak-jinak dengan ular jagung terlebih dahulu kerana kosnya dalam lingkungan harga RM300 hingga RM1,000 seekor, bergantung kepada umur, saiz dan coraknya.
“Harga ini masih terkawal kerana kebanyakan yang dijual di pasaran adalah baka tempatan,” katanya.
Peminat haiwan eksotik dari Salak Perdana itu turut berkongsi ciri menarik pada ular jagung.
“Ular jagung diberi nama demikian kerana satu daripada tempat asalnya ditemukan ialah di ladang jagung di Amerika Syarikat.
“Ia sering ditemukan di dalam gudang atau ladang kerana sumber makanannya ialah tikus.
“Selain itu, ada juga yang mengatakan nama ular jagung dipetik daripada ciri di bawah badannya yang bermotif grid jingga kecoklatan umpama warna bijirin jagung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




