am@hmetro.com.my
Nilai: Seorang pembantu pengurus sumber manusia berputih mata apabila kerugian lebih RM150,000 selepas terjebak dengan penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Difahamkan, bagi menarik minat mangsa, sindiket kononnya memulangkan keuntungan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit kepada pelabur, namun wang berkenaan tidak dibenarkan untuk dikeluarkan dari akaun aplikasi pelaburan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, mangsa menyedari ditipu selepas akaun aplikasinya disekat dan bertanyakan kepada ChatGPT.
“Pada 6.33 petang semalam, kaunter aduan Balai Polis Nilai terima satu aduan daripada seorang wanita warga tempatan berusia awal 40-an mengenai kejadian itu.
“Mangsa menyatakan pada 18 Mac lalu, dia berurusan dengan individu yang dikenali dengan nama Chloe Lau melalui laman sosial menawarkan skim pelaburan saham,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, pengadu berminat untuk melabur dalam skim itu kerana dijanjikan keuntungan lumayan dan diminta untuk muat turun satu aplikasi ke telefon bimbitnya.
Tambahnya, pengadu yang bekerja sebagai pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Nilai kemudian dikatakan memindahkan wang ke dalam beberapa akaun berjumlah RM163,500.
“Bagaimanapun semalam, pengadu sedari ditipu selepas beberapa kali cuba mengeluarkan keuntungan yang diperoleh melalui aplikasi itu tetapi tidak berjaya,” katanya.
Johari berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan tangkap suspek.
“Pihak polis menasihatkan orang awam supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai apa-apa pelaburan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




