Ketua AMK Tanjung Malim letak jawatan, keluar PKR

Ketua AMK Tanjung Malim letak jawatan, keluar PKR

IPOH – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Tanjung Malim, Muhammad Haziq Azfar Ishak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Exco AMK Malaysia dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat susulan kebimbangannya terhadap hala tuju parti yang didakwa semakin berubah daripada prinsip perjuangan asal.

Dakwanya, tindak tanduk Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bertentangan dengan prinsip asas perjuangan parti yang sebelum ini menjadi tunjang sokongan ramai.

“Kebimbangan ramai adalah apabila PKR sudah menjadi sebuah parti establishment yang mempertahankan status quo atas alasan praktikaliti dan kompromi yang berlebihan.

“Hasilnya, PKR dan Pakatan Harapan (PH) terpaksa mengabaikan suara penyokong kerana terlalu banyak berdolak-dalik dan menangguhkan janji perubahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Muhammad Haziq Azfar berkata, persepsi bahawa semua ahli politik dan parti adalah sama semakin menebal dalam kalangan masyarakat sekali gus mewujudkan krisis kepercayaan yang perlu ditangani segera.

Menurutnya, semua pihak mempunyai tanggungjawab sosial untuk berganding bahu memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem politik negara.

“Keadaan ini lebih membimbangkan apabila ia memberi kesan terhadap kepercayaan orang awam, khususnya generasi muda serta pengundi kali pertama terhadap institusi parti politik dan demokrasi.

“Kita perlu lebih radikal dan agresif menongkah pendekatan business as usual, khususnya apabila generasi baharu kini berdepan cabaran abad ke-21 tetapi masih ditawarkan solusi berasaskan pendekatan abad ke-20,” katanya.

Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada parti itu atas pengalaman dan ruang perjuangan yang diberikan sepanjang penglibatannya bersama PKR.

 

Scroll to Top