SHAH ALAM: Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tony Pua Kiam Wee yang mendakwa kuasa raja terhad disifatkan cuba memisahkan institusi raja daripada Perlembagaan Persekutuan.
Pengamal undang-undang, M. Partiben berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara itu mengelirukan sedangkan kedudukan dan kuasa Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam dan ketua negeri terdapat dalam Perlembagaaan Persekutuan.
“Pernyataan tersebut mengelirukan rakyat kerana ia seolah-olah memisahkan Institusi Raja daripada Perlembagaan Persekutuan. Hakikatnya, kedudukan dan kuasa diperuntukkan secara jelas di bawah Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959.
“Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan memang menetapkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi. Namun kuasa Sultan yang termaktub dalam Perlembagaan itu sendiri adalah sebahagian daripada undang-undang tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, bekas wakil rakyat dari DAP itu dilapor mendakwa kuasa raja secara keseluruhannya di bawah sistem Raja Berperlembagaan diamalkan di negara ini terhad.
Beliau mendakwa, sistem itu terhad kepada kepada aspek-aspek tertentu seperti adat Melayu, Islam dan peranan berperlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar serta perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kenyataan beliau kemudian mengundang pelbagai kritikan yang mendakwa pandangan diberikan itu mengelirukan, tidak memberi tafsiran sebenar Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan Rukun Negara.
Partiben kemudian menuntut penjelasan daripada Tony Pua sekiranya beliau benar-benar mempertikai peranan sultan seperti mana dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Saya menggesa bekas ahli parlimen itu memberi penjelasan segera sama ada beliau mempertikai kuasa perlembagaan Sultan, kekeliruan itu tidak sepatutnya dibiarkan kerana ia boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi Raja Berperlembagaan yang menjadi tunggak kestabilan negara.
“Dalam sistem Raja Berperlembagaan, menghormati titah nasihat Sultan tidak bermakna menolak Perlembagaan,” jelasnya. – UTUSAN




