Oslo: Seorang wartawan Norway menerima pujian kerana mengemukakan soalan sukar kepada Narendra Modi dan pegawainya ketika lawatan perdana menteri India itu ke negara Scandinavia berkenaan, minggu ini, lapor Independent.
Helle Lyng, yang bekerja dengan akhbar Dagsavisen di Oslo, menjadi tular di media sosial selepas beliau berbalas hujah dengan diplomat India dan bertanya kepada Modi mengapa beliau tidak berdepan media.
Difahamkan, Modi tidak menjawab sebarang soalan dalam sidang media solo di India, sejak menjadi perdana menteri pada 2014.
Beliau turut dipersoalkan mengenai kemerosotan kebebasan media dan hak asasi manusia sepanjang lawatan empat negara di Eropah yang bermula dengan lawatan dua hari ke Belanda pada Sabtu.
Pada Isnin, Modi muncul bersama perdana menteri Norway, Jonas Gahr Store untuk membuat kenyataan bersama sebelum Lyng menjerit bertanya mengapa beliau tidak menjawab soalan daripada media paling bebas di dunia ketika kedua-dua pemimpin mula meninggalkan bilik.
Susulan itu, Modi dilaporkan tidak berhenti memberi respons dan terus berjalan keluar dari lokasi itu.
Lyng kemudian berkongsi video Modi berjalan keluar dari bilik itu dengan kapsyen bahawa Perdana Menteri India itu tidak mahu menjawab soalannya dan beliau sememangnya tidak menjangkakannya.
Beliau berkata, tugas wartawan adalah mempersoalkan pihak berkuasa yang mereka bekerjasama dengannya.
India berada di kedudukan ke-157 daripada 180 negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2026 yang dikeluarkan kumpulan advokasi Reporters Without Borders, dan kekal dalam kategori ‘sangat serius’ manakala Norway menduduki tempat pertama.
Menurut media sama, soalan Lyng kepada Modi kemudian mencetuskan pertukaran tegang dalam sidang media Kementerian Luar India apabila pegawai ditekan mengenai kebebasan media dan hak asasi manusia.
Diplomat kanan, Sibi George mempertahankan kredibiliti demokrasi India dengan menyatakan negara itu mempunyai perlembagaan yang menjamin hak asasi rakyat serta hak sama rata untuk wanita.
George turut mengkritik, pemahaman antarabangsa yang disifatkannya ‘terhad’ mengenai landskap media India dan menyasarkan laporan yang mempersoalkan pelanggaran hak asasi manusia di negara itu.
Pemimpin pembangkang India, Rahul Gandhi turut mengkritik Modi dengan mempersoalkan imej India apabila dunia melihat perdana menteri itu panik dan melarikan diri daripada beberapa soalan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




