am@hmtro.com.my
Kota Kinabalu: Polis menumpaskan sindiket pengurusan MyKad palsu menerusi penahanan sembilan individu termasuk lima warga asing dalam Op Pugo di sini, baru-baru ini.
Sepanjang operasi selama enam hari bermula 7 Mei lalu itu, sembilan yang berjaya ditahan termasuk empat wanita berusia lingkungan 36 hingga 61 tahun membabitkan lima warga Filipina dan Indonesia.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi dilaksanakan susulan laporan polis dibuat seorang wanita berusia 30 tahun pada 13 Mac lalu yang mendakwa kerugian RM20,000 selepas semakan mendapati tiada sebarang rekod permohonan MyKad atas nama mangsa di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Hasil siasatan, polis turut berjaya merampas pelbagai dokumen dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan membabitkan permohonan MyKad.
“Antara rampasan yang dibuat ialah 85 keping pelbagai dokumen permohonan MyKad, 54 keping salinan kad pengenalan, 45 keping salinan dokumen pemohon MyKad, 24 keping gambar pemohon serta 10 set dokumen bertulis Program Khas Penempatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Jauteh berkata, polis turut merampas sembilan salinan sijil lahir, enam sijil lahir asal, tujuh salinan pasport pelbagai nama, tujuh telefon bimbit pelbagai jenama, lima MyKad palsu serta tiga cop JPN.
“Turut disita dalam tiga kenderaan, sebuah set komputer, sebuah pencetak dan dua buah stampad yang dipercayai digunakan bagi memproses dokumen berkaitan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Jauteh berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 170 KK dan Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan berkenaan juga dinasihatkan supaya tampil membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




