‘Dia ayah terbaik, pelindung saya’ – Pengawal keselamatan Masjid San Diego terkorban ketika cuba lindungi ratusan kanak-kanak

‘Dia ayah terbaik, pelindung saya’ – Pengawal keselamatan Masjid San Diego terkorban ketika cuba lindungi ratusan kanak-kanak

SAN DIEGO – Anak kepada Amin Abdullah, pengawal keselamatan yang maut ditembak ketika cuba melindungi ratusan kanak-kanak dalam serangan di Pusat Islam San Diego, menyifatkan bapanya sebagai seorang pelindung dan insan terbaik pernah dikenalinya.

Dalam sidang media berhampiran masjid berkenaan pada Selasa, Hawaa Amin Abdullah tampil bersama ahli keluarganya sambil menahan sebak ketika berkongsi kenangan mengenai bapanya yang disifatkan sebagai wira oleh masyarakat setempat.

“Dia adalah ayah terbaik di dunia. Dia pelindung saya,” katanya.

Hawaa berkata, bapanya bukan sahaja seorang ayah penyayang, malah sentiasa menunjukkan contoh menjadi insan baik, suami bertanggungjawab dan anak yang menghormati keluarga.

Menurutnya, Allahyarham bapanya akan menghubungi ibunya setiap malam hanya untuk bertanya khabar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi San Diego: Tiga Muslim gugur sebagai wira

Lima maut serangan sasar masjid di AS

Lima termasuk 2 penyerang maut dalam serangan tembakan di kompleks masjid San Diego

Amin Abdullah wira selamatkan jemaah dalam serangan masjid San Diego

Beliau turut menyifatkan bapanya sebagai individu yang melayan semua orang dengan penuh hormat tanpa mengira agama atau latar belakang.

“Tidak kira sama ada seseorang itu Muslim, Kristian, Yahudi atau tidak mempunyai agama, dia tetap melayan mereka sebagai manusia.

“Dia sentiasa tersenyum kepada orang yang tidak dikenalinya,” katanya.

Allahyarham Amin Abdullah.-Agensi

Allahyarham Amin Abdullah.-Agensi

Hawaa berkata, bapanya juga amat mementingkan pendidikan dan sering menggalakkan anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.

“Mengikut ajarannya, saya baru memperoleh kelayakan mengajar minggu lalu,” katanya.

Menurut Hawaa, bapanya yang memeluk Islam turut mendidik anak-anak lelakinya menjadi pemuda Muslim kulit hitam yang berpendidikan dan berakhlak baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima termasuk 2 penyerang maut dalam serangan tembakan di kompleks masjid San Diego

Amin Abdullah wira selamatkan jemaah dalam serangan masjid San Diego

Beliau turut berkongsi kenangan bagaimana dia sering singgah di masjid untuk ‘mengejutkan’ bapanya ketika bertugas, namun Amin sentiasa menyedari kehadirannya lebih awal.

“Dia sangat serius dengan tugasnya sehingga kadang-kadang tidak mahu makan ketika bekerja kerana takut sesuatu buruk berlaku jika dia meninggalkan pos kawalan,” katanya.

Hawaa ketika sidang media berkenaan.-Agensi

Hawaa ketika sidang media berkenaan.-Agensi

Ketua Polis San Diego, Scott Wahl berkata, rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Amin bertindak pantas sebaik menyedari ancaman bersenjata di pusat Islam itu.

Menurutnya, dua remaja suspek dipercayai berlari melepasi Amin tanpa menyedari kehadiran pengawal keselamatan terbabit.

“Amin segera menyedari ancaman terhadap semua individu di masjid lalu melepaskan tembakan ke arah suspek.

“Rakaman menunjukkan beliau sempat mencapai radio untuk mengaktifkan prosedur sekatan ketika masih berbalas tembakan,” katanya.

Scott Wahl berkata, tindakan Amin berjaya melengahkan dan menghalang suspek daripada memasuki kawasan utama masjid yang ketika itu menempatkan kira-kira 140 kanak-kanak hanya beberapa meter dari lokasi serangan.

“Malangnya beliau maut dalam pertempuran bersenjata itu,” katanya.

Insiden tembakan yang sedang disiasat sebagai jenayah kebencian itu turut meragut nyawa dua remaja suspek dan mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan serangan anti-Islam di Amerika Syarikat.-Agensi

Scroll to Top