ajohari@bh.com.my
Putrajaya: Rayuan seorang lelaki warga emas untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 30 tahun kerana menembak mati rakan baiknya dalam insiden di sebuah tokong di Wakaf Tapai, Marang, Terengganu lima tahun lalu, ditolak Mahkamah Persekutuan hari ini.
Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan Ong Chow Lee, 62, yang disabitkan membunuh, Fong Swee Fuan (ketika kejadian 65 tahun) yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang.
Mahkamah dengan itu mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Chow Lee selepas mendapati rayuannya tidak mempunyai sebarang merit.
Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Datuk Lee Swee Seng dan Datuk P Ravinthran.
Chow Lee didakwa melakukan kesalahan itu di belakang sebuah tokong Cina di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang antara jam 1.20 tengah hari hingga jam 1.55 tengah hari pada 23 Julai 2021.
Menurut fakta kes, Chow Lee melepaskan tembakan selepas berlaku pertengkaran, menyebabkan mangsa terbunuh manakala anak saudara mangsa, Teo Hock Beng, 50, cedera pada tangan kiri.
Chow Lee mengaku salah atas kedua-dua pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Julai 2024 dan dijatuhi hukuman penjara masing-masing 30 tahun dan 13 tahun, yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu pada 23 Julai 2021.
Ketika rayuan, dia memohon Mahkamah Rayuan mengembalikan kesnya ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula.
Ia dibuat dengan alasan dipengaruhi bekas peguamnya untuk mengaku, dengan mempercayai hanya akan menerima hukuman penjara 15 tahun, sedangkan hukuman minimum kesalahan membunuh ialah 30 tahun.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 12 September tahun lalu, menolak rayuannya itu.
Terdahulu, peguam bela Ahmad Ridzuan Awang, berhujah bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang menerima pengakuan bersalah Chow Lee telah terkhilaf apabila gagal menjelaskan sifat dan akibat pengakuan bersalah tertuduh.
Beliau berkata, nota prosiding merekodkan bahawa Mahkamah Tinggi secara teliti menawarkan jurubahasa Cina kepada tertuduh, namun dia memilih untuk mendengar dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh dalam Bahasa Malaysia.
Ahmad Ridzuan berkata, mahkamah itu tersalah arah apabila gagal memberi penjelasan mengikut Seksyen 178(1) dan (2) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan pertuduhan mesti dijelaskan sepenuhnya kepada tertuduh dan pengakuan bersalah hanya boleh direkodkan sekiranya tertuduh memahami sifat serta akibat pengakuan tersebut.
“Kami menghujahkan bahawa mungkin tidak selamat untuk Mahkamah Tinggi menerima pengakuan bersalah itu,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah bahawa pengakuan bersalah oleh Ong jelas mematuhi prosedur.
“Responden dengan rendah diri menghujahkan bahawa berdasarkan nota prosiding, tiada paksaan atau salah arah yang boleh mewajarkan campur tangan mahkamah ini.
“Tertuduh diwakili peguam pada masa material dan beliau memilih untuk mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu serta pengakuan bersalah tersebut diterima mengikut undang-undang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




