Dadah: Pemandu e-hailing dipenjara 30 tahun, 25 sebatan

Dadah: Pemandu e-hailing dipenjara 30 tahun, 25 sebatan

Shah Alam: Seorang pemandu e-hailing dihukum penjara 30 tahun dan 25 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar 24,588.5 gram dadah jenis kanabis dan memiliki dua lagi jenis dadah seberat 10.4 gram.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar memerintahkan K Prakash, 43, yang juga penjual mercun menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap pada 22 April 2021.

Dalam penghakimannya, Latifah berkata, mahkamah mendapati pembelaan tertuduh hanyalah penafian semata-mata tanpa keterangan sokongan tentang dadah yang dijumpai itu bukan dalam milikan, jagaan dan kawalannya.

Beliau berkata, ketika kes pembelaan, hanya tertuduh memberi keterangan, manakala beberapa rakan yang dituduh bersama tidak dipanggil sebagai saksi untuk mengesahkan dia tiada kaitan dengan dadah tersebut.

“Bekas isteri tertuduh sendiri telah menjadi saksi pendakwaan dan mahkamah mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai dan keterangan beliau patut diterima oleh mahkamah.

“Jumlah dadah itu boleh dianggap untuk tujuan pengedaran kerana jumlah sebanyak itu adalah mustahil untuk kegunaan sendiri. Oleh itu, pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan,” kata hakim itu pada akhir kes pembelaan.

Bagi pertuduhan pertama, Prakash didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 24,588.5 gram di sebuah apartmen di Bandar Sri Damansara, Petaling, pada 22 April 2021 dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39b(2) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa memiliki dadah jenis monoacetylmorphines dan heroin, masing-masing seberat 6.4 gram dan empat gram di lokasi dan tarikh sama mengikut Seksyen 12(2) ADB.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail memohon hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh dengan mengambil kira faktor keseriusan kes memandangkan dadah merupakan musuh nombor satu negara.

Prakash yang dilihat menangis merayu hukuman ringan kerana sudah lama tidak berjumpa keluarga terutama anaknya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top