Tiada PRU mengejut! Fahmi tegaskan Kerajaan Perpaduan kekal hingga habis penggal

Tiada PRU mengejut! Fahmi tegaskan Kerajaan Perpaduan kekal hingga habis penggal

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan semua parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan masih komited untuk terus menyokong pentadbiran negara sehingga tamat penggal.

Jawab spekulasi PRU & PRN

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Fahmi menyatakan perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) lebih awal atau Pilihan Raya Negeri (PRN) secara mengejut.

“Beliau ada memaklumkan kepada Jemaah Menteri tentang perkara tersebut dan itulah yang saya sebut di awal tadi mengenai komitmen daripada parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang menyatakan mereka berhasrat untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan sehingga akhir penggal,” katanya.

Perkara itu disentuh PM Anwar

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media dalam sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.

Menurut beliau, perkara itu turut disentuh selepas Anwar sebelum ini membangkitkan isu berkenaan ketika Konvensyen Pakatan Harapan pada Ahad lalu.

Dalam pada itu, Fahmi menyatakan komitmen untuk terus menyokong kerajaan sehingga tamat penggal sekali lagi diulangi dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebagai tanda sokongan terhadap kestabilan pentadbiran sedia ada.

Kenyataan tersebut dilihat mampu meredakan spekulasi politik yang mula hangat diperkatakan susulan beberapa perkembangan mutakhir melibatkan parti-parti dalam kerajaan.

Sebelum ini, timbul pelbagai andaian mengenai kemungkinan PRU awal diadakan selepas beberapa parti politik mula memperkukuh jentera masing-masing sebagai persediaan menghadapi PRU16.

Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)

Scroll to Top