am@hmetro.com.my
Kuala Kangsar: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menyerahkan pertikaian berkaitan urusan penggantungan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri (PUU) Negeri Sembilan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, Peguam Negara meneliti perkara itu daripada segi perundangan, biarpun SPA dan SPKP mempunyai kuasa melantik SUK dan PUU.
“Yang itu saya ingat kita perlu rujuk kepada pernyataan yang dibuat oleh Peguam Negara dan Ketua Setiausaha Negara kerana merekalah yang meneliti semua perkara yang berhubung dengan tadbir urus dan apa jua bentuk perundangan dan implikasinya.
“Jadi, saya nasihatkan kepada semua agar kita berlandaskan kepada undang-undang yang ada di negara ini dan autoriti yang mempunyai kewibawaan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat MADANI (SAM) SPA di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru, di sini, hari ini.
Pelaksanaan inisiatif SAM SPA itu yang sudah diselesaikan sepenuhnya bagi 2026 membabitkan peruntukan RM100,000, justeru memberi manfaat kepada 770 pelajar serta 50 guru dan pentadbir sekolah itu melalui enam skop utama.
Kata Ahmad Jailani lagi, masyarakat digesa tidak mewujudkan polemik serta membuat tafsiran sendiri tanpa mengetahui perkara sebenar dengan lebih mendalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




