Belanjawan 2027 buka lebih banyak peluang kepada pengusaha agromakanan

Belanjawan 2027 buka lebih banyak peluang kepada pengusaha agromakanan

PETALING JAYA: Belanjawan 2027 yang membuka lebih banyak peluang kepada pengusaha agromakanan untuk meningkatkan pengeluaran, memodenkan operasi dan memperkukuh keterjaminan makanan negara, kata Agrobank.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pelbagai inisiatif pembiayaan yang diumumkan kerajaan mampu membantu pengusaha meningkatkan kapasiti perniagaan serta mengadaptasi teknologi pertanian yang lebih cekap.

Menurut beliau, pembiayaan RM40 juta bagi projek akuakultur, selain dana pembiayaan melebihi RM1 bilion menerusi Agrobank dan beberapa institusi kewangan lain akan menyediakan lebih banyak peluang kepada pengusaha untuk mengembangkan operasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi Agrobank, keutamaan kami bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi memastikan sokongan ini benar-benar membantu pengusaha mengatasi cabaran, meningkatkan produktiviti dan membina perniagaan yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Setakat September 2026, Agrobank meluluskan pembiayaan berjumlah RM2.08 bilion kepada 7,236 pengusaha dalam sektor pertanian, agromakanan, penternakan, perkhidmatan dan perikanan.

Dalam sektor sawit, pembiayaan hibrid RM100 juta akan disediakan bagi membantu 4,500 pekebun kecil melaksanakan penanaman semula kelapa sawit, dengan hanya separuh daripada jumlah pembiayaan perlu dibayar balik.

Langkah itu dijangka meringankan beban kewangan pekebun kecil, meningkatkan produktiviti kebun dan menyokong kemampanan industri sawit negara.

Sementara itu, peningkatan peruntukan pembiayaan mikro kepada RM6.6 bilion dijangka membantu lebih ramai pengusaha kecil mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.

Agrobank turut menyokong usaha memperluas akses pembiayaan kepada usahawan tani menerusi Skim Usahawan Tani Agrobank x FAMA. 

Sebanyak 15 siri jelajah di pasar tani seluruh negara dilaksanakan tahun ini, dengan permohonan pembiayaan perniagaan melebihi RM13 juta direkodkan.

Dalam usaha memperkasa industri halal, geran padanan sehingga RM5,000 disediakan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mendapatkan pensijilan halal buat kali pertama, manakala sehingga RM25,000 diperuntukkan bagi memperkasa PMKS halal dalam sektor berpotensi termasuk kosmetik dan farmaseutikal.

Agrobank juga bakal menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan kepada pekerja gig bagi membantu golongan berpendapatan tidak tetap memiliki rumah pertama.

Dalam pada itu, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank akan terus memberi tumpuan kepada pembiayaan yang menyokong peningkatan pengeluaran makanan, penggunaan teknologi, pembangunan agropreneur dan pengukuhan rantaian nilai agromakanan menjelang 2027.

“Setiap ringgit yang diamanahkan perlu memberi manfaat yang nyata kepada pengusaha, memperkukuh industri agromakanan dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top