Nestle labur RM6 juta bantu pesawah tingkatkan hasil padi

Nestle labur RM6 juta bantu pesawah tingkatkan hasil padi

am@hmetro.com.my

Jitra: Nestle Malaysia melabur lebih RM6 juta sejak 2012 bagi membantu pesawah tempatan meningkatkan hasil dan kualiti padi menerusi program Nestle Paddy Club (NPC).

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols berkata, pelaburan itu merangkumi pemberian input pertanian, khidmat teknikal dan perkongsian ilmu berkaitan kaedah penanaman padi kepada pesawah yang menyertai program berkenaan.

Katanya, kira-kira 200 pesawah menyertai NPC dengan keluasan sawah lebih 600 hektar di Kedah dan Perlis.

“Bantuan yang diberikan bukan sekadar kewangan, sebaliknya turut membabitkan kaedah penanaman, amalan pertanian, varieti padi serta pengetahuan daripada pakar pertanian Nestle.

“Kita lihat hasil sehektar yang dicapai pesawah dalam program ini lebih tinggi berbanding purata hasil padi negara selepas mereka menyertai program bersama Nestle,” katanya selepas lawatan ke kilang padi Ninamaju Sdn Bhd di sini, baru-baru ini.

Terdahulu beliau bersama pasukan Nestle turut melakukan lawatan ke kawasan sawah peserta NPC di Kampung Matang Bongor, di sini.

Juan berkata, bagi musim pertama tahun ini, seramai 157 pesawah menyertai program berkenaan dengan keluasan sawah kira-kira 475 hektar.

Katanya, NPC dijangka menghasilkan antara 2,800 hingga 3,000 tan metrik beras untuk kegunaan CERELAC sepanjang tahun ini.

“Beras putih yang digunakan dalam CERELAC di Malaysia adalah 100 peratus daripada sumber tempatan dan kita sudah mendapatkan bekalan beras tempatan ini sejak 2012.

“Selain CERELAC, beras tempatan turut digunakan dalam produk Nestum 3 dalam 1 dan rangkaian bijirin untuk seisi keluarga,” katanya.

Pegawai Eksekutif Perniagaan, Nestle Nutrition, Nestle Malaysia, She Shiang berkata, beras yang digunakan dalam CERELAC perlu memenuhi standard keselamatan yang ketat kerana produk itu adalah untuk bayi.

Katanya, beras terbabit melalui beberapa proses pemeriksaan termasuk ujian kandungan toksin kulat dan logam berat sebelum digunakan untuk menghasilkan CERELAC.

“Beras ini perlu memenuhi standard kualiti yang tinggi dan kita panggilnya ‘baby grade’ kerana keperluannya lebih ketat berbanding beras untuk orang dewasa,” katanya.

Sementara itu, pesawah NPC, Bahriza Rejab berkata, penglibatannya dalam program berkenaan sejak 2012 membantu meningkatkan hasil padi yang diusahakan di Kampung Matang Bongor.

Katanya, sebelum menyertai NPC, hasil padi yang diperoleh kira-kira 1.5 hingga 1.6 tan bagi satu relung (0.33 hektar), namun kini meningkat kepada kira-kira 2.2 hingga 2.3 tan.

“Banyak bantuan diberikan seperti vitamin padi, silikon dan bahan untuk tanah. Silikon membantu menguatkan akar serta batang padi dan mengurangkan risiko penyakit.

“Bahan itu diberikan secara percuma kepada kami dan ini sangat membantu kerana kalau hendak beli sendiri, kosnya agak tinggi,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak ini berkata, selain meningkatkan hasil, program itu turut memberi panduan kepada pesawah dalam mengurus tanaman termasuk mengurangkan penggunaan racun kimia bagi memastikan padi yang dihasilkan memenuhi keperluan untuk makanan bayi.

Katanya, padi yang dituai akan dijual kepada pengilang dilantik Nestle sebelum diproses untuk menghasilkan CERELAC.

“Saya memang berterima kasih kepada NPC kerana banyak membantu kami, terutama dari segi input pertanian dan cara meningkatkan hasil sawah,” katanya.

Bagi Md Nasir Md Saman pula, dia sudah 21 tahun mengusahakan tanaman padi dan menyertai program berkenaan sejak ia diperkenalkan pada 2012.

Katanya, sepanjang menyertai NPC, beliau menerima pelbagai sokongan termasuk khidmat nasihat teknikal, input pertanian seperti racun dan vitamin padi, selain penggunaan mesin bagi membantu kerja di sawah.

Menurutnya, penglibatan dalam NPC turut memberi penekanan terhadap penghasilan padi berkualiti dan mengurangkan penggunaan bahan kimia dalam penanaman.

“Nestle menghasilkan CERELAC sebagai makanan untuk bayi. Sebab utama Nestle menjalankan program ini adalah untuk memastikan padi yang dihasilkan melalui NPC berkualiti dan agak kurang dari segi penggunaan bahan kimia, sekali gus memastikan kualiti CERELAC yang diambil oleh bayi terjamin,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top