NEW DELHI – Sebuah kartun yang menggambarkan Perdana Menteri India, Narendra Modi sebagai ‘pawang ular’ mencetuskan kemarahan ramai selepas disiarkan akhbar terbesar Norway, Aftenposten sempena lawatan pemimpin itu ke negara berkenaan.
Kartun tersebut diterbitkan bersama artikel pendapat beberapa jam sebelum Modi tiba di ibu negara Norway, Oslo dengan tajuk yang diterjemahkan sebagai ‘Seorang lelaki bijak tetapi sedikit menjengkelkan’.
Laporan itu membincangkan peningkatan hubungan India dengan negara-negara Nordic, namun ilustrasi berkenaan mengundang kritikan kerana dianggap menggunakan stereotaip kolonial terhadap India.
Istilah pawang ular sejak sekian lama sering digunakan di Barat bagi menggambarkan India sebagai negara eksotik dan mundur.
Susulan itu, ramai pengguna media sosial mengecam kartun tersebut sebagai bersifat perkauman, menghina dan xenofobik terhadap India serta Modi.
Seorang pengguna platform X menyifatkan kartun itu sebagai ‘jelas bersifat rasis’ sambil mengingatkan bahawa Modi sendiri pernah menyebut dunia Barat melihat India sebagai ‘negara pawang ular’.
“Dan kini sebuah akhbar Eropah sekali lagi menggambarkannya sedemikian,” katanya.
Seorang lagi pengguna menyifatkan tindakan Aftenposten merendahkan pemimpin demokrasi terbesar dunia menerusi stereotaip era kolonial sebagai sesuatu yang melampaui batas satira.
“Kritikan itu boleh diterima, tetapi perkauman tidak,” tulis pengguna tersebut.
Kontroversi itu turut berlaku ketika Modi berdepan kritikan semasa sidang media di Norway apabila wartawan tempatan, Helle Lyng mempersoalkan mengapa beliau tidak menerima soalan daripada media.
Modi tidak menjawab pertanyaan itu, namun Kementerian Luar India kemudian memberikan reaksi keras terhadap isu berkenaan.
Ini bukan kali pertama simbol pawang ular digunakan terhadap India.
Pada 2022, akhbar Sepanyol, La Vanguardia turut menggunakan ilustrasi serupa dalam muka depan bertajuk ‘The Hour of the Indian Economy’ bagi melambangkan kebangkitan ekonomi India.
Modi baru-baru ini menamatkan lawatan rasmi ke Norway yang bertujuan memperkukuh kerjasama India dengan negara-negara Nordic dalam bidang teknologi hijau, perubahan iklim, perdagangan, inovasi, kecerdasan buatan (AI) serta pertahanan.
Semasa berada di Oslo, Modi turut menghadiri Sidang Kemuncak India-Nordic ketiga bersama pemimpin Denmark, Norway, Finland, Iceland dan Sweden.- Agensi



