‘Tiada gelombang besar tinggalkan PKR Negeri Sembilan untuk sertai Rafizi’ – Aminuddin

‘Tiada gelombang besar tinggalkan PKR Negeri Sembilan untuk sertai Rafizi’ – Aminuddin

SEREMBAN – “Saya tidak diajak”.

Demikian reaksi ringkas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun sama ada beliau telah dipelawa oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (MU).

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu, sebagai rakan, beliau menghormati keputusan Rafizi, malah tindakan seumpama itu bukanlah perkara baharu dalam politik.

“Beliau ada pandangan, hak dan jangka masa sendiri. Masing-masing ada hak dalam demokrasi.

“Apabila beliau tiba-tiba buat parti baharu, jadi kita hormatlah. Ia biasa, kita dah lalui dalam PKR pun, UMNO lagi banyak perpecahan dan itu yang dilalui oleh pimpinan semua,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Ujar Aminuddin, walaupun mungkin terdapat segelintir ahli parti tersebut yang akan menyertai Rafizi, namun beliau yakin yang PKR Negeri Sembilan masih kekal kukuh.

Malah jelasnya, krisis adat dan perlembagaan yang berlaku di negeri terbabit telah menjadikan hubungan PKR lebih bersatu dan saling hormat-menghormati.

“Memang ada ahli PKR yang akan sertai MU tapi berapa ramai tak tahu. Buat masa ini belum ada gelombang besar yang tinggalkan PKR di Negeri Sembilan.

“Saya tengok PKR negeri ini lebih bersatu, tersusun dan saling hormat-menghormati selepas apa yang berlaku(krisis adat dan perlembagaan) disebabkan oleh UMNO,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar parti dan mengambil alih parti MU.

Mereka masing-masing turut mengambil tindakan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa pada Isnin lepas.

 

Scroll to Top