Polis berkas 3 pencuri kabel di Pasir Gudang

Polis berkas 3 pencuri kabel di Pasir Gudang

am@hmetro.com.my

Johor Bahru : Polis menahan lima lelaki tempatan disyaki terbabit kegiatan mencuri kabel di Pasir Gudang, dekat sini, susulan penularan video kejadian itu di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya mengesan video berdurasi tujuh saat dimuat naik menerusi akaun Threads @inhuman.13, jam 2 petang semalam.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati kejadian itu berlaku pada 4.15 pagi kelmarin, di Pasir Gudang.

“Bertindak atas maklumat, polis menahan lima lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 27 tahun bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai digunakan dalam kegiatan itu termasuk lima batang kabel, tiga unit kunci manhole, empat unit tali, tiga pemotong kabel dan tiga kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas senjata berbahaya seperti kerambit, keris, buku lima, tukul besi serta peralatan penarik wayar kabel.

Katanya, semakan turut menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan rekod lampau pula mendapati kesemua tangkapan mempunyai antara 11 hingga 23 rekod jenayah dan dadah,” katanya.

Mohd Sohaimi berkata, seorang daripada suspek direman empat hari bermula 18 hingga 21 Mei ini, manakala empat lagi direman empat hari bermula hari ini hingga 23 Mei depan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya serta Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Beliau berkata, polis sedang giat mengesan suspek lain yang masih bebas dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top