'Kak Yong risau penduduk dalam PKPD terputus makanan'

'Kak Yong risau penduduk dalam PKPD terputus makanan'

bhnews@bh.com.my

TUMPAT: Sepanjang 18 hari Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap Mukim Sungai Pinang di sini, bermula 22 Mei hingga 9 Jun lalu, sosok tubuh wanita yang bergelar aktivis masyarakat ini sentiasa kelihatan di Jeti Kok Majid di sini.

Setiap hari aktivis masyarakat itu, Faizah Qemerzaman, 52, akan memenuhkan kenderaannya dengan pelbagai barangan keperluan penduduk dari empat kampung yang terkurung itu sebelum dibawa menaiki bot untuk diagihkan.

Hanya melihat dari jauh barangan yang diangkut dibawa oleh pemandu bot yang diupah, Faizah sudah merencanakan apa lagi bentuk keperluan, selain bantuan disediakan pihak berwajib yang akan dibawa keesokan hari dan seterusnya.

Beliau yang juga pengasas badan bukan kerajaan (NGO) Prihatin@We Care, berkata setiap hari menerima panggilan telefon atau pesanan menerusi aplikasi WhatsApp daripada penduduk dari Kampung Pulau Beluru, Pantai Haji Nik Mat, Pantai Suri dan Teluk Renjuna yang meminta bantuan bukan sahaja dalam bentuk makanan tapi juga keperluan asas lain seperti lampin pakai buang dan susu bayi.

“Hubungan saya dengan penduduk atas pulau sudah terjalin bertahun lalu dan bantuan terhadap mereka tidak pernah putus saya hantar bergantung kepada dana yang diberi penyumbang.

“Saya sudah sedia maklum akan kesusahan hidup penduduk di sana dan apabila dikuatkuasakan PKPD baru-baru ini, keadaan mereka semakin terdesak menyebabkan saya setiap hari datang ke jeri untuk membawa segala keperluan yang diinginkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Faizah yang mesra disapa Kak Yong atau Umi, berkata setiap hari beliau menerima panggilan telefon atau pesanan suara yang mengadu belum makan, tiada apa yang boleh dimasak atau tiada wang untuk membeli makanan, sekali gus mengundang sebak di dadanya.

Katanya lagi, dia hanya menambah makanan lain sahaja seperti ayam mentah, ikan, lampin pakai buang, susu formula termasuk pernah menyumbangkan 6,000 keping pelitup muka yang diperlukan penduduk malah bukan sahaja penduduk yang terkepung dalam PKPD, sumbangan yang sama juga diberikan kepada petugas barisan hadapan yang terbabit dalam penugasan PKPD.

Faizah yang sudah lebih 20 tahun terbabit dalam kerja amal itu, berkata selain beberapa penyumbang tetap, dia juga mendapat kerjasama daripada pembekal ayam mentah di Pasir Pekan serta Pasar Raya Lotuss Stores yang menyumbangkan sejumlah sayur untuk diagihkan kepada penduduk di PKPD.

Menurutnya lagi, selagi belum berakhir PKPD, hatinya belum tenang kerana kerap menerima pesanan WhatsApp daripada penduduk yang terkesan meminta bantuan dan kerap membuatnya hiba.

“Disebabkan rasa dekat dengan penduduk di gugusan pulau, saya langsung tidak berasa penat berulang alik setiap hari ke Jeti Kok Majid ini demi memberi rasa lega kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Sebaik PKPD Mukim Sungai Pinang berakhir pada 9 Jun lalu, ia disambung lagi di Kampung Kutan Mukim Wakaf Bharu dan Kampung Ketil Mukim Pengkalan Kubor dan keadaan itu membuatkan tanggungjawab Faizah masih belum tamat.

Memberi jaminan akan terus ‘menghulurkan tangan’, beliau bersama pasukannya dalam Prihatin@We Care akan terus mengumpulkan dana untuk memberi bantuan kepada penduduk di dua lokaliti PKPD terbaharu itu.

“Kami tahu bahawa bantuan daripada pihak kerajaan sudah mencukupi untuk penduduk dalam kawasan PKPD tapi apa yang kami sumbang ini adalah sebagai tambahan termasuk keperluan yang tidak disediakan iaitu lauk mentah serta lampin pakai buang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top