Dihantui bayangan reput fros dan kematian, Kicok kongsi detik cemas tawan Everest pada suhu negatif 40

Dihantui bayangan reput fros dan kematian, Kicok kongsi detik cemas tawan Everest pada suhu negatif 40

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: “Memang saya yakin boleh sampai ke puncak, tetapi sepanjang berada di ‘Death Zone’, saya sentiasa terbayang kes pendaki Malaysia yang hilang, terjatuh, mengalami reput fros dan kehabisan oksigen di Everest.

“Saya tertanya-tanya bagaimana perkara itu boleh berlaku kepada mereka dan saya takut ia berlaku kepada saya juga,” kata pendaki negara, Khafiz Bachok, 47.

Khafiz atau lebih dikenali sebagai Kicok berjaya menawan puncak Gunung Everest, 8,849 meter dari aras laut menerusi jalur pendakian di Nepal pada 18 Mei lalu pada jam 5 pagi waktu tempatan.

Difahamkan dia menjadi rakyat Malaysia ke-30 berjaya menakluki rebung dunia itu.

Katanya, dalam suasana angin kuat dan suhu mencecah negatif 40 darjah Celsius, bayangan tragedi yang pernah menimpa pendaki lain nyata menghantui fikirannya setiap kali melangkah di kawasan melebihi 8,000 meter yang dikenali sebagai Death Zone.

Menceritakan perjalanan pendakiannya, Khafiz berkata dia memulakan perjalanan dari kem induk Everest, Everest Base Camp (EBC) yang terletak pada ketinggian sekitar 5,364 meter pada 10 Mei lalu sebelum tiba di Camp 1 pada ketinggian kira-kira 6,065 meter sehari kemudian.

Katanya, dia kemudian meneruskan pendakian ke Camp 2 yang berada pada ketinggian sekitar 6,400 meter pada 11 Mei sebelum terpaksa menunggu selama tiga hari di situ bagi mendapatkan cuaca terbaik.

“Selepas itu saya naik ke Camp 3 pada ketinggian sekitar 7,200 meter pada 15 Mei dan Camp 4 di South Col yang berada pada ketinggian kira-kira 7,900 meter pada 16 Mei.

“Pada petang 17 Mei saya memulakan summit push menuju puncak dan tiba di puncak pada waktu pagi 18 Mei.

“Sebaik tiba di puncak, saya tidak berada lama di situ, hanya sekitar 15 hingga 20 minit kerana angin terlalu kuat sebelum terus turun semula ke Camp 2 pada hari sama,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Khafiz berkata, cabaran terbesar kali ini bukan sekadar suhu mencecah negatif 40 darjah Celsius, tetapi perubahan cuaca ekstrem dengan kelajuan angin antara 20 hingga 50 kilometer (km) sejam ketika pendakian dari Camp 4 menuju puncak.

Katanya, keadaan itu hampir menyebabkan dia mengalami reput frost apabila pipinya mula terasa beku.

“Ketika itu memang sangat sejuk. Saya baru selesai menunaikan solat Subuh di Hillary Step sebelum matahari terbit dan terus menuju ke puncak.

“Pemandangannya memang sangat cantik kerana dapat melihat matahari terbit, namun angin terlalu kuat menyebabkan saya terus turun,” katanya yang berlepas ke Nepal pada 4 April lalu sebagai persediaan awal sebelum memulakan ekspedisi ke Everest.

Khafiz berkata, jadual asal pendakiannya turut terganggu akibat kewujudan serac atau bongkah ais besar tergantung di kawasan Khumbu Icefall yang boleh runtuh pada bila-bila masa.

“Keadaan itu menyebabkan pasukan pemasang tali keselamatan tidak dapat membuka laluan mengikut jadual selain turut mengorbankan beberapa pendaki dan sherpa.

“Saya mengambil pendekatan berbeza apabila hanya melakukan satu summit push dari base camp berbanding kebiasaan pendaki yang melakukan dua kali proses menyesuaikan diri di tempat tinggi,” katanya.

Beliau berkata, sebagai persediaan, dia melakukan pendakian di Island Peak setinggi 6,189 meter dan Lobuche East berketinggian 6,119 meter termasuk bermalam di puncak Lobuche sementara menunggu laluan Everest dibuka semula.

Katanya, sebelum ini dia turut mempunyai pengalaman mendaki K2 setinggi 8,611 meter serta Gunung Manaslu berketinggian 8,163 meter yang banyak membantunya mengendalikan situasi di kawasan Death Zone dengan lebih tenang.

Mengulas perasaannya berada di puncak Everest, Khafiz mengakui dia sebak mengenangkan dirinya hanyalah insan kecil di hadapan kebesaran Tuhan.

“Saya rasa seperti dapat melihat seluruh dunia dari atas sana, tetapi dalam masa sama saya sedar kita hanyalah manusia biasa yang sangat kecil berbanding gunung dan kebesaran Allah SWT yang mencipta semua ini.

“Kejayaan ini juga tidak mungkin dicapai tanpa sokongan keluarga dan rakan-rakan termasuk ketika misi terdahulu di K2 dan Manaslu,” katanya.

Menurutnya, pendakian Everest kali ini turut menjadi sebahagian daripada projek dokumentari bertajuk TEKAD hasil kerjasama FINAS bersama Red Communication dan Rack Focus Film serta penaja lain yang dijangka diterbitkan sempena bulan kemerdekaan nanti.

Dalam pada itu, bapa kepada empat anak berusia antara sembilan hingga 21 tahun itu berkata, fokus utamanya selepas ini adalah berehat dan menjaga ibunya berusia 75 tahun yang kini terlantar sakit akibat demensia.

“Impian saya jika ada rezeki, saya mahu melihat rakyat Malaysia menjadi rakyat Asia Tenggara pertama melengkapkan 14 Peaks iaitu 14 gunung melebihi 8,000 meter di dunia.

“Kalau bukan saya sekalipun, saya berharap akan ada rakyat Malaysia lain yang berjaya melakukannya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top