
Pemain Selangor FC, Chrigor Moraes diasak pemain Buriram United pada perlawanan Final 1 Kejuaraan Kelab ASEAN Piala Shopee 2025/26 di antara Selangor FC menentang Buriram United di Stadium MBPJ. Foto Bernama
SELANGOR FC berdepan tugas mencabar menjelang aksi timbal balik final Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) selepas tewas 0-1 kepada wakil Thailand, Buriram United dalam aksi pertama di Stadium MBPJ pada Rabu.
Kekalahan tipis di laman sendiri itu menyaksikan skuad Gergasi Merah wajib bangkit memburu kemenangan pada aksi kedua di Stadium Chang Arena yang dijadual berlangsung pada 27 Mei ini.
Pada aksi tersebut, Buriram United dilihat lebih menguasai permainan pada babak pertama apabila melancarkan dua percubaan awal menerusi Suphanat Mueanta dan Kingsley Schindler dalam tempoh 10 minit pertama, namun kedua-dua percubaan gagal menemui sasaran.
Gawang Selangor akhirnya dibolosi pada minit ke-24 apabila Suphanat bijak menanduk masuk hantaran lambung kemas daripada Theerathon Bunmathan untuk meletakkan pasukan pelawat di hadapan.
Tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-31 menerusi sepakan percuma Alvin Fortes yang menggegar palang gol sebelum disambar Mohammad Abualnadi.
Bagaimanapun, jaringan tersebut dibatalkan selepas pemeriksaan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Abualnadi berada dalam kedudukan ofsaid.
Tiga minit sebelum tamat babak pertama, Selangor sekali lagi berpeluang mencetak gol, namun tandukan Chrigor Moraes hasil hantaran sepakan percuma Faisal Halim sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol lawan.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan gagal mencipta banyak peluang menarik meskipun Selangor lebih banyak menguasai permainan.
Pemain tengah Selangor, Hugo Boumous hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-65 namun percubaannya sekadar terkena tiang gol lawan.
Usaha berterusan skuad kendalian Kim Pan-gon untuk menembusi gawang Buriram tidak berhasil sehingga wisel penamat ditiup.



