Qabil Irfan pasang impian besar di Barcelona

Qabil Irfan pasang impian besar di Barcelona

PELUMBA muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan bersedia membuka lembaran baharu kariernya apabila memulakan cabaran di pentas Eropah menerusi pusingan pembukaan Kejuaraan Moto4 European Cup 2026 di Litar Catalunya, Barcelona-Montmeló, hujung minggu ini.

Menyertai pasukan berpangkalan di Britain, MLav Junior Team, Qabil mengakui peluang beraksi di Eropah merupakan platform terbaik untuk meningkatkan tahap kemampuan serta menimba pengalaman berdepan kelompok pelumba muda terbaik dunia.

“Saya sangat teruja untuk memulakan cabaran di Moto4 European Cup kerana ini peluang besar untuk belajar dan bersaing dengan pelumba terbaik di Eropah. Sudah tentu sasaran saya adalah untuk memberikan aksi terbaik dan bersaing dalam kelompok hadapan.

“Saya tahu cabaran di sini sangat berbeza dan tahap persaingan lebih tinggi, jadi saya perlu bekerja lebih keras terutama dari segi kecergasan, adaptasi dengan jentera serta memahami litar dengan lebih baik.

“Setakat ini, saya rasa semakin serasi dengan jentera. Saya akan cuba lakukan yang terbaik pada perlumbaan hujung minggu ini dan berharap dapat mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Penampilan sulung Qabil di bumi Sepanyol dilihat langkah penting dalam usaha memperkukuhkan reputasinya di arena perlumbaan antarabangsa, sekali gus membuka laluan lebih luas ke pentas dunia pada masa depan.

Penyertaan pelumba muda negara itu bersama MLav Junior Team turut dianggap sebagai strategi tepat dalam pembangunan jangka panjang kariernya.

Pasukan berkenaan mempunyai reputasi kukuh dalam program pembangunan bakat muda termasuk rekod podium dalam saingan JuniorGP selain pengalaman luas di pentas Kejuaraan Dunia Moto3.

Hubungan baik antara bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin dengan pemilik pasukan, Michael Laverty, turut memainkan peranan penting dalam membuka ruang buat Qabil menyertai pasukan berkenaan.

Persefahaman antara kedua-dua pihak itu memberi peluang kepada Qabil untuk berkembang dalam persekitaran perlumbaan profesional yang lebih kompetitif, sekali gus mempercepat proses adaptasinya di pentas Eropah.

Walaupun beberapa pasukan lain turut menunjukkan minat mendapatkan khidmatnya, MLav Junior Team akhirnya dipilih berdasarkan rekod pembangunan pelumba muda serta keupayaannya menyediakan platform terbaik untuk membentuk karier Qabil secara lebih menyeluruh.

Setakat ini, Qabil dilaporkan semakin serasi dengan jentera Moto4 miliknya selain memperlihatkan perkembangan positif sepanjang sesi latihan dan ujian persendirian bersama pasukan baharunya itu.

Kejuaraan Moto4 European Cup 2026 musim ini dijadual berlangsung dalam tujuh pusingan bermula di Catalunya sebelum tirai saingan dilabuhkan di Litar Motor Valley Emilia-Romagna, Itali pada Oktober depan.

Aksi di Barcelona dijangka menjadi kayu ukur pertama buat Qabil untuk menilai tahap kemampuannya bersaing di pentas Eropah sebelum meneruskan misi membawa nama Malaysia lebih jauh dalam arena perlumbaan dunia.

Sebagai rekod, Qabil hadir ke Sepanyol dengan momentum terbaik selepas meraih tempat kedua dalam Perlumbaan 2 Moto4 Asia Cup di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada awal Mac lalu.

Keputusan itu menyaksikannya kini menghuni tangga ketiga keseluruhan carta kejuaraan Asia dengan kutipan 30 mata, di belakang dua pelumba Jepun, Hayato Chishiki yang mengumpul 50 mata serta Waku Kunitate dengan 33 mata.

Scroll to Top