Pemandu kereta positif dadah direman empat hari

Pemandu kereta positif dadah direman empat hari

TELUK INTAN: Pemandu lelaki yang didapati positif dadah dan terlibat dalam kemalangan mengorbankan dua remaja perempuan di Jalan Padang Tembak di sini semalam, ditahan reman hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, lelaki berusia 28 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Khamis depan.

“Permohonan reman telah dijalankan hari ini dan mahkamah membenarkan perintah tahanan reman selama empat hari terhadap lelaki itu,” katanya di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, dua remaja perempuan maut selepas terlibat dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Padang Tembak menghala ke Kampung Banjar semalam.

Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Nur Dania Arissa Salim, 17, dan pembonceng, Nur Atikah Abdullah, 16, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Terdahulu Kok Lian berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.

Menurut beliau, kereta tersebut kemudian melanggar motosikal dinaiki kedua-dua mangsa, sebuah lagi kereta yang berada di hadapan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berada di tepi jalan.

“Hasil saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap pemandu kereta didapati lelaki itu positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top