DUA gol di separuh masa pertama sudah cukup untuk China merakam kemenangan 2-0 ke atas Malaysia, pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong, malam ini.Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe beraksi tanpa beberapa tonggak utama apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak disenaraikan, manakala enam pemain Selangor FC terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat masalah kecederaan.China, yang menghuni ranking ke-96 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-133, bermula garang apabila membuka jaringan pada minit ke-10, menerusi tandukan Wang Yudong yang menyambut hantaran lintang Lin Liangming dari sebelah kanan.Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan seminit kemudian, namun Romel Morales gagal menyudahkan peluang dari jarak dekat, apabila rembatannya melambung melepasi palang.Kapten China Zhang Yuning menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-19, selepas melepasi perangkap ofsaid dan kawalan pertahanan negara Rodney Celvin sebelum menewaskan penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli.Perlawanan tegang pada minit ke-44, apabila pertahanan negara, Dominic Tan menyepak bola ke arah Alex Yang yang terjatuh selepas bertembung dengan Daniel Ting.Insiden itu mencetuskan kekecohan apabila beberapa pemain dan pegawai China dari bangku simpanan memasuki padang, sebelum keadaan berjaya dikawal sehingga tamat separuh masa.China yang dibimbing Shao Jiayi hampir menambah jaringan pada minit ke-60 apabila Zhang menyambar bola selepas Dominic tersalah sepak, namun rembatan dari luar kotak penalti beliau berjaya diselamatkan Muhammad Haziq.Peluang Malaysia untuk merapatkan kedudukan hadir pada minit ke-77 apabila Fergus Tierney melepaskan rembatan kencang, selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan China, namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesan kekasaran dalam gerakan serangan.Penjaga gol China, Li Hao kemudian bertindak cemerlang untuk menafikan dua percubaan berturut-turut Malaysia pada minit ke-86, masing-masing daripada Richard Chin dan Paulo Josue untuk memastikan pasukan tuan rumah merakam kemenangan bersih.Pada penghujung permainan, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Fergus dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning, namun kedudukan 0-2 itu kekal sehingga tamat masa permainan.Malaysia akan menentang Yemen di venue sama dalam satu lagi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, Selasa depan. – Bernama
China jinakkan Harimau Malaya 2-0
Malay News | https://www.malay.news/china-jinakkan-harimau-malaya-2-0/