JOHOR BAHRU – Johor kini dilihat menjadi barometer politik negara apabila semakin banyak parti politik memberi tumpuan terhadap negeri itu bagi mengukur kekuatan dan sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, Johor sentiasa menjadi tumpuan kerana dianggap negeri yang progresif dan sering menjadi penanda aras kepada landskap politik negara.
Katanya, situasi politik di Johor ketika ini turut menarik perhatian pelbagai pihak susulan spekulasi kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) akan diadakan pada bila-bila masa.
“Johor ini istimewa, rakyatnya ada semangat Bangsa Johor dan lebih progresif. Sebab itu ramai parti politik mahu bertanding di sini.
“Pilihan raya pula adalah asas kepada parti politik. Kalau tubuh parti tetapi tidak mahu bertanding, lebih baik jadi NGO,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Baru Ban Foo, Ulu Tiram di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli mengenai parti baharu beliau itu Parti Bersama yang dijangka akan bertanding termasuk di Johor menentang semua parti utama pada pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Tebrau menjelaskan, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik antara parti akan diputuskan di peringkat pusat, namun PKR dan Pakatan Harapan (PH) Johor tetap bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Beliau mengakui hubungan antara parti di peringkat Persekutuan boleh terjejas sekiranya berlaku pertandingan sesama sendiri pada PRN.
“Suka atau tidak, kalau di negeri kita berlawan tetapi di Persekutuan masih bekerjasama dalam kerajaan, ia boleh menggugat elemen kepercayaan.
“Bayangkan dalam Kabinet, semalam kita berlawan, hari ini duduk semeja berbincang. Sudah tentu akan timbul pelbagai persepsi,” katanya.
Mengulas cadangan beberapa pihak supaya PRN diadakan serentak dengan PRU, beliau berkata langkah itu mampu menjimatkan kos kerajaan dan mengurangkan keletihan politik dalam kalangan rakyat.
Katanya, PRN Johor 2022 menelan kos hampir RM150 juta dan angka itu dijangka meningkat sehingga RM200 juta sekiranya pilihan raya diadakan secara berasingan.
“Kalau buat sekali, kita boleh jimat banyak kos. Rakyat pun tidak penat asyik keluar mengundi dalam tempoh singkat.
“Pilihan raya juga memberi kesan kepada produktiviti dan keyakinan pelabur. Bila terlalu kerap pilihan raya, pelabur akan tunggu dan lihat keadaan politik dahulu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata PKR Johor sudah mula menggerakkan jentera di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai persediaan awal.



