TINDAKAN Israel terhadap aktivis flotila bantuan itu mencetuskan kecaman meluas di Eropah selepas Menteri Keselamatan Negara negara haram Israel, Itamar Ben Gvir menyiarkan video menunjukkan tahanan diikat dan dipaksa melutut.
Beberapa negara Eropah menyifatkan layanan itu sebagai melanggar maruah manusia dan tidak boleh diterima.
Belgium
Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot berkata duta Israel akan dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung video berkenaan.
Menurutnya, rakyat Belgium turut berada dalam kalangan aktivis yang ditahan dan semua tahanan perlu dibebaskan segera serta dilayan secara bermaruah.
Perancis
Perancis turut memanggil duta Israel susulan tindakan Ben Gvir menyiarkan rakaman tersebut.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noël Barrot berkata tindakan itu menimbulkan kemarahan dan pihaknya mahu penjelasan rasmi daripada Israel.
Jerman
Duta Jerman ke Israel, Steffen Seibert menyifatkan layanan terhadap aktivis itu sebagai langsung tidak boleh diterima dan bercanggah dengan nilai kemanusiaan.
Greece
Kementerian Luar Greece menggesa pembebasan segera 19 rakyatnya yang dipercayai berada dalam flotila tersebut.
Menurut kementerian itu, tindakan Menteri Keselamatan Negara haram Israel terhadap peserta flotila berkenaan amat dikesali dan wajar dikecam.
Ireland
Menteri Luar Ireland, Helen McEntee berkata beliau terkejut dengan rakaman itu dan menuntut pembebasan segera aktivis yang didakwa ditahan secara tidak sah.
Itali
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menggesa aktivis Itali yang ditahan dibebaskan serta-merta selain menuntut permohonan maaf daripada Israel.
Beliau berkata layanan terhadap penunjuk perasaan itu mencabuli maruah manusia.
Sepanyol
Menteri Luar Sepanyol, José Manuel Albares menyifatkan tindakan tersebut sebagai memalukan dan tidak berperikemanusiaan, selain mengesahkan wakil Israel di Madrid telah dipanggil.
Belanda
Perdana Menteri Belanda, Rob Jetten memaklumkan duta Israel telah dipanggil, manakala Menteri Luar, Tom Berendsen menyifatkan insiden itu sebagai mengejutkan dan tidak boleh diterima.
Turut dikritik pemimpin Israel
Tindakan Ben Gvir turut menerima kecaman daripada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Netanyahu kononnya berkata cara aktivis itu dikendalikan tidak selaras dengan nilai dan norma Israel serta mengarahkan supaya mereka dihantar pulang secepat mungkin.
Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar turut mengkritik Ben Gvir kerana didakwa menjejaskan imej Israel di mata dunia.
Flotila Global Sumud sebelum ini berlayar dari Turkiye dalam usaha menghantar bantuan ke Gaza selepas satu lagi konvoi bantuan dipintas tentera Israel bulan lalu.
Pihak berkuasa Israel memaklumkan seramai 430 aktivis berada di atas kapal tersebut, manakala kumpulan hak asasi Adalah berkata sebahagian daripada mereka telah tiba di pelabuhan Ashdod dan kini ditahan di situ. – Agensi



