Video kontroversi layanan kejam aktivis pro-Palestin cetus kemarahan antarabangsa

Video kontroversi layanan kejam aktivis pro-Palestin cetus kemarahan antarabangsa

BRUSSELS – Sebuah video kontroversi yang dimuat naik oleh Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben Gvir, yang menunjukkan aktivis flotila ke Gaza ditahan dengan tangan diikat dan dahi menyentuh tanah seperti dalam keadaan bersujud mencetuskan gelombang kecaman daripada Kesatuan Eropah (EU) dan komuniti antarabangsa pada Rabu.

“Tiada siapa patut dihukum kerana memperjuangkan misi kemanusiaan. Mereka bukan penjenayah yang telah disabitkan kesalahan untuk diperlakukan sedemikian. Mereka ialah aktivis pro-Palestin yang cuba membawa roti untuk penduduk Gaza yang kelaparan,” kata Pesuruhjaya Eropah, Hadja Lahbib menerusi platform X.

Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni juga menuntut pembebasan segera rakyat mereka yang ditahan dan menuntut permohonan maaf Israel.

“Layanan tidak berperikemanusiaan diterima mereka tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.

Perancis memanggil duta Israel untuk membantah tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel itu.

“Saya telah meminta agar duta Israel ke Perancis dipanggil bagi menyatakan kemarahan kami dan mendapatkan penjelasan,” tulis Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, di X.

Sebagai respons tegas, Sepanyol dan Belanda mengumumkan duta Israel di negara masing-masing telah dipanggil manakala Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot juga mengambil langkah serupa.

Sementara itu, Menteri Luar Ireland, Helen McEntee memberitahu beliau ‘terkejut dan marah’ dengan rakaman itu dan menuntut pembebasan segera aktivis yang ditahan secara haram.

Difahamkan, antara yang ditahan ialah adik kepada Presiden Ireland, Catherine Connolly.

Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares turut menyifatkan layanan ke atas kesemua aktivisi misi Global Sumud Flotilla itu sebagai ‘kejam, memalukan dan tidak berperikemanusiaan”.

Video yang dimuat naik oleh menteri Israel itu turut mencetuskan kritikan daripada Kanada, United Kingdom (UK) dan Turkiye.

“Ia jelas melanggar piawaian paling asas tentang penghormatan dan maruah dalam layanan terhadap manusia,” kata Menteri Dalam Negeri Britain, Yvette Cooper sambil menambah bahawa London telah menuntut penjelasan daripada pihak berkuasa Israel.

Kementerian Luar di Ankara menegaskan Ben Gvir sekali lagi mempamerkan kepada dunia mentaliti ganas dan kejam kerajaan ‘ekstremis’ pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu. – Agensi

 

Scroll to Top