Melayu berdepan fasa mencabar akibat politik berpecah

Melayu berdepan fasa mencabar akibat politik berpecah

KUALA LUMPUR: Perkembangan politik semasa yang kini meraikan perbezaan pendapat meletakkan bangsa Melayu khususnya sedang melalui satu fasa mencabar.

Penaung Briged Negaraku, Datuk Zakaria Abdullah berkata, situasi itu menimbulkan kebimbangan apabila sukar mencari titik persamaan demi memperkukuhkan kekuatan bangsa dan negara.

“Hari ini, dalam suasana masyarakat yang semakin mudah terheret ke dalam perbalahan politik dan perpecahan sosial, semangat perjuangan seperti inilah yang semakin dirindui rakyat. Ramai melihat bangsa Melayu sedang melalui satu fasa yang mencabar, terlalu banyak perbezaan diraikan, tetapi terlalu sedikit usaha dilakukan untuk mencari titik persamaan.

“Dalam keadaan itu, rakyat sebenarnya tidak mengharapkan lahirnya tokoh sempurna. Sebaliknya rakyat hanya mahu melihat keberanian baharu daripada pemimpin-pemimpin negara untuk kembali bercakap tentang penyatuan, tentang merapatkan saf, dan tentang masa depan generasi akan datang yang semakin terbeban dengan pelbagai cabaran kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, sesebuah bangsa akan menjadi kuat apabila pemimpinnya boleh duduk bersama dan membuang ego masing-masing demi menyelamatkan masa depan rakyat dan negara.

“Itulah legasi paling besar yang ditinggalkan oleh Datuk Onn Jaafar. Beliau pernah memilih jalan yang sukar demi mempertahankan prinsip perpaduan walaupun langkahnya tidak selalu difahami pada zamannya.

“Namun seorang pemimpin besar sentiasa berfikir melangkaui kepentingan politik semasa. Apa yang beliau fikirkan ketika itu ialah bagaimana rakyat di negara ini dapat hidup dalam suasana lebih bersatu dan stabil untuk jangka panjang.

“Hari ini, nama besar Datuk Onn masih hidup dalam ingatan rakyat dan terus diwarisi oleh generasi penerus dalam dunia politik negara. Namun warisan sebenar bukan terletak pada nama keluarga atau kedudukan, tetapi sejauh mana semangat perjuangan itu mampu diteruskan dalam bentuk tindakan,” katanya.

Katanya lagi, usaha memperkukuh perpaduan bangsa tidak boleh lagi dianggap sebagai agenda bermusim.

“Mungkin inilah masa terbaik untuk semua pihak, khususnya generasi pemimpin hari ini, merenung kembali apakah makna sebenar perjuangan politik. Adakah politik sekadar medan persaingan dan perebutan pengaruh, atau medan untuk menyatukan kekuatan bangsa demi menghadapi cabaran masa depan?

“Rakyat hari ini sudah terlalu penat melihat politik yang dipenuhi pertelingkahan tanpa penghujung. Sedangkan di luar sana, generasi muda sedang memikirkan soal peluang pekerjaan, pendidikan, ekonomi dan kos sara hidup yang semakin menekan. Mereka mahu melihat pemimpin yang mampu membawa harapan, bukan sekadar menambah perpecahan,” katanya.

Berikutan itu, katanya sejarah perjuangan Onn seharusnya menjadi cermin kepada semua pemimpin Melayu hari ini, bahawa kekuatan sebenar bukan diukur pada siapa paling lantang atau paling berkuasa, tetapi siapa yang paling sanggup menyatukan manusia ketika keadaan sedang retak dan berpecah.

“Jika dahulu Datuk Onn bangkit menyedarkan bangsa dalam keadaan rakyat masih mencari arah untuk membina sebuah negara merdeka, maka cabaran generasi hari ini pula ialah memastikan bangsa ini tidak hilang arah akibat perpecahan yang berpanjangan.

“Akhirnya, rakyat akan sentiasa menghormati pemimpin yang memilih untuk menyatukan, bukan memecahkan. Dan sejarah pula akan sentiasa mengingati mereka yang sanggup mengetepikan ego demi masa depan bangsa dan negara,” katanya.-UTUSAN

 

 

Scroll to Top