am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis mengenal pasti identiti mayat yang ditemukan dalam longkang di Jalan Kedah, di sini, hari ini, sebagai lelaki berusia 37 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan polis di lokasi berkenaan mendapati lelaki itu adalah gelandangan yang menginap di kawasan berhampiran.
“Terdahulu polis menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan daripada orang awam pada jam 9.26 pagi.
“Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang sebuah premis di jalan berkenaan.
“Siasatan di lokasi mendapati mangsa merupakan warga tempatan dan beralamat di Kapar, Selangor,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Swee Sake berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian dan pada badan mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah.
“Mayatnya sudah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat.
“Kes ini diklasifikasi sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut sudah dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya lagi.
Sebelum ini Harian Metro melaporkan penemuan mayat terbabit oleh pekerja pembersihan di lokasi itu.
Polis turut menemukan beberapa barangan dipercayai milik mangsa seperti kain selimut dan alas tempat duduk di kaki lima premis, berhadapan longkang mayat itu ditemukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




