Perdagangan luar Malaysia pecah rekod, lepasi RM1 trilion dalam 4 bulan

Perdagangan luar Malaysia pecah rekod, lepasi RM1 trilion dalam 4 bulan

Kuala Lumpur: Perdagangan luar Malaysia mencatatkan sejarah baharu apabila melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh hanya empat bulan pertama tahun 2026, mencatatkan momentum terpantas dalam sejarah negara.

Pencapaian luar biasa itu didorong oleh permintaan melonjak terhadap produk pertumbuhan tinggi dan nilai tinggi (HGHV) serta strategi kepelbagaian pasaran yang berkesan meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Jumlah perdagangan bagi tempoh itu berkembang 15.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.127 trilion, dengan nilai eksport melonjak 19 peratus kepada RM609.31 bilion manakala import meningkat 11.1 peratus kepada RM517.4 bilion.

Prestasi memberangsangkan itu menyaksikan lebihan dagangan negara melonjak drastik sebanyak 99.1 peratus kepada RM91.92 bilion, sekali gus menggandakan pencapaian yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Bagi April 2026 sahaja, eksport bulanan memuncak 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion, manakala lebihan dagangan bulanan melambung 460.5 peratus kepada RM28.75 bilion, menetapkan piawaian baharu dalam sejarah ekonomi negara.

Sektor Elektrik dan Elektronik (E&E) kekal menjadi nadi utama yang menyumbang pertumbuhan RM71 bilion atau 32.1 peratus, dipacu ledakan semikonduktor global hasil adaptasi kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan pusat data.

Malaysia kini mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai AI global dengan eksport produk berkaitan AI melonjak 42.9 peratus kepada RM319.05 bilion, merangkumi lebih separuh atau 52.4 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, keunggulan Malaysia terletak pada nilai produk yang dieksport dan bukannya sekadar kuantiti semata-mata dalam mendepani rantaian bekalan teknologi dunia.

“Lonjakan produk AI dan semikonduktor mengesahkan industri kita berada jauh dalam rantaian bekalan teknologi. MATRADE komited membimbing PKS tempatan mendaki rantaian nilai untuk merebut peluang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat, China dan Eropah, Malaysia kini meneroka pasaran baharu dengan pertumbuhan eksport luar biasa direkodkan di Congo, Sudan, Zimbabwe dan Bulgaria.

Walaupun eksport ke rantau Asia Barat terkesan akibat ketegangan geopolitik dengan penguncupan 15.8 peratus, Malaysia menunjukkan ketangkasan strategik dengan mengalihkan fokus ke pasaran alternatif seperti Bahrain, Syria dan Jordan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top