Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Aziz mengingatkan semua pihak supaya tidak memutar belit titah Sultan Sharafuddin Idris Shah demi kepentingan politik sempit sehingga boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan kestabilan negara.
Titah baginda disalah tafsir
Menurut beliau dalam kenyataan di media sosial, titah Sultan Selangor perlu difahami dalam kerangka sebenar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara sejak sekian lama.
“Dalam tradisi Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara kita, ‘titah’ adalah peringatan yang lahir daripada kebijaksanaan institusi Raja, dizahirkan demi kebaikan negeri dan rakyat keseluruhannya.
“Ia bukanlah satu ‘perintah mutlak’ seperti yang disalah tafsir oleh segelintir pemimpin politik,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew hadir seminggu sekali ke Dataran Selangor bagi menghayati prinsip Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati institusi Raja dan menjaga adab kesopanan.
Baginda bertitah, langkah itu penting agar semua pihak khususnya pemimpin politik memahami nilai asas yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara.
Tengku Zafrul yang juga Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri menjunjung kasih atas perkenan Sultan Selangor menerima menghadap serta menzahirkan penghargaan terhadap titah baginda yang menekankan kepentingan perpaduan rakyat demi kestabilan negeri dan negara.

Katanya, Dewan Di-Raja Selangor sebelum ini juga telah menjelaskan titah baginda bukan campur tangan politik, sebaliknya nasihat seorang Raja demi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Titah Tuanku Selangor harus dilihat dalam semangat yang lebih luas iaitu memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk Malaysia dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu,” katanya.
Beliau turut menegaskan kekuatan Melayu dan Islam tidak seharusnya dilihat dalam kerangka sempit, sebaliknya perlu menjadi asas kestabilan negara yang turut melindungi semua kaum dan agama.
“Kita juga harus memahami dan menginsafi hakikat bahawa dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum yang lain.
“Kekuatan sebenar sebuah negara bukan terletak pada siapa yang paling lantang, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling hormat menghormati dan mempercayai antara satu sama lain,” katanya lagi.
Harap tiada pihak politikkan isu berkenaan
Beliau turut mengingatkan agar tiada pihak mempolitikkan isu berkenaan sehingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin serta mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Janganlah ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini sehingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin serta menjejaskan keharmonian rakyat di negeri Selangor,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menegaskan Malaysia ketika ini memerlukan politik matang dan kestabilan khususnya ketika berdepan cabaran ekonomi global dan isu tenaga.
“Tumpuan berterusan harus diberikan kepada usaha memperkukuhkan institusi, mempererat perpaduan dan membina jambatan persefahaman antara kaum, bukannya meniup api perpecahan yang akhirnya membinasakan negara dan bangsa kita sendiri,” katanya.

Sumber: Facebook Tengku Zafrul




