Zuraidi umum keluar PKR, sertai Bersama

Zuraidi umum keluar PKR, sertai Bersama
Zuraidi umum keluar PKR, sertai Bersama

Zuraidi secara rasmi mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa pada Khamis . – Foto: FB Zuraidi Ismail

KUANTAN – Bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota, Zuraidi Ismail secara rasmi mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa pada Khamis dan memilih menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Presiden PKR selain mendakwa perjuangan parti itu semakin tersasar daripada landasan asal.

“Dengan rasminya, saya keluar daripada PKR,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Zuraidi berkata, meskipun tidak lagi bersama PKR, beliau akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan yang selama ini dibawa.

“Insya-ALLAH, saya akan terus mengekalkan prinsip sedia ada yang telah tersemat sekian lama untuk memberikan sumbangan kepada agenda kebaikan, ketelusan dan kesaksamaan dalam memajukan negara ini.

“Semoga ALLAH sentiasa memberi petunjuk kepada diri dan rakan-rakan yang lain,” ujarnya.

Mengulas penyertaannya dalam Bersama yang diterajui Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, Zuraidi berkata, beliau yakin parti tersebut mampu membawa agenda reformasi lebih menyeluruh dan telus berbanding parti lain sedia ada.

Beliau juga mahu membantu parti baharu itu dalam usaha merealisasikan penetapan landasan dan dasar negara yang lebih tepat untuk generasi akan datang.

“Saya yakin dengan kepimpinan parti ini yang dilihat telus, berani dan cekap untuk menyelesaikan masalah rakyat serta membawa negara ini lebih maju ke hadapan.

“Parti ini juga akan mendapat sokongan majoriti rakyat untuk membawa suara mereka daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, agama dan bangsa,” katanya.

Zuraidi pernah menjadi calon Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan keluar parti dan masing-masing turut mengambil tindakan mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa pada Isnin lalu.

Pada 17 Mei lalu, kedua-dua pemimpin PKR itu mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Bersama.

Scroll to Top