SHAH ALAM – Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengumumkan beliau secara rasmi menyertai parti Bersama sebagai ahli biasa pada Khamis.
Menerusi hantaran di Facebook, Rafizi berkata, beliau mendaftar sebagai ahli baharu parti itu pada jam 12.56 tengah hari.
Menurutnya, nombor keahlian Bersama mengandungi 14 digit yang mewakili kod negeri, kod parlimen dan nombor siri keahlian ahli di seluruh negara.
“Hari ini, 21 Mei 2026, jam 12.56 tengah hari, saya baru mendaftar menjadi ahli baru Bersama.
“Saya kini menjadi ahli biasa dan nombor keahlian saya agaknya lebih corot berbanding yang lebih awal sertai sejak hari Ahad.
“Nombor keahlian Bersama ada 14 digit, dua digit pertama ialah kod negeri yang anda pilih untuk bergiat, sempat digit seterusnya ialah kod parlimen yang ada pilih untuk bergiat dan nombor siri keahlian ialah lapan digit seterusnya. Nombor siri ini terpakai untuk seluruh negara,” katanya.
Ujarnya, jika nombor keahlian ialah 12 0173 0000 9242, bermakna itu adalah ahli yang ke 9,242 yang mendaftar sejak Ahad dan akan bergiat aktif di Parlimen Putatan, Sabah.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada seorang ahli dari Sabah dikenali sebagai Agustinus yang menggunakan nombor pendaftaran tersebut sebagai contoh.
“Ramai yang menghantar mesej kepada saya menawarkan diri untuk membuka cawangan di daerah atau negeri.
“Nasihat saya ialah untuk mendaftar sebagai ahli di laman sesawang parti ini dahulu. Proses untuk menyusun organisasi akar umbi itu akan berlaku dalam tempoh sebulan dari sekarang.
“Bersama mesti mengambil pendekatan sang kancil iaitu mencari kaedah yang paling optimum dan berkesan dalam menyusun organisasi akar umbi supaya kita tangkas, cerdik dan berani,” katanya.
Menurutnya, pendekatan yang akan diambil oleh parti berkenaan dalam menyusun organisasi akar umbi tidak sama dengan organisasi parti lain yang ada.
Beliau turut menggesa orang ramai mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan untuk turut sama menyertai parti berkenaan.
Sebelum ini, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali Parti Bersama Malaysia (MU).
Penyerahan parti yang akan diterajui kedua-dua bekas menteri itu dilaksanakan pada majlis pengumuman hala tuju politik mereka pada Ahad.



