Polis siasat akaun Tiktok palsu guna AI fitnah, hina Agong

Polis siasat akaun Tiktok palsu guna AI fitnah, hina Agong

Kuala Lumpur:Polis membuka kertas siasatan berhubung kandungan berunsur fitnah dan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menerusi satu akaun TikTok palsu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), JSJ Bukit Aman.

“Pada masa ini, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu sengaja mengaibkan seseorang dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan perkhidmatan atau kemudahan aplikasi.

Kumar turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang kandungan di media sosial, khususnya membabitkan isu 3R, iaitu agama, bangsa dan institusi diraja.

“Pihak JSJ tidak akan sekali-kali berkompromi dalam perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan ketenteraman awam, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan sentiasa terpelihara,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor atau Royal Press Office mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang menghasilkan akaun TikTok palsu bagi memfitnah serta menghina Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Royal Press Office memaklumkan akaun berkenaan memakai nama “Sultan Ibrahim Ismail” dan dikesan menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk menyebarkan kandungan berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top