Alunan takbir raya di SNCC iringi pembebasan aktivis GSF 2.0

Alunan takbir raya di SNCC iringi pembebasan aktivis GSF 2.0

SEPANG: Alunan takbir raya berkumandang di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini, bagi meraikan pembebasan tanpa syarat kesemua aktivis Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 hari ini.

Lebih manis, berita gembira itu sekali gus menamatkan detik cemas perjalananan misi pelayaran kemanusiaan itu yang kini secara rasminya berakhir pada hari ke-39, hari ini.

Turut mengiringi detik manis itu termasuk lebih 20 sukarelawan SNCC yang berkampung di pusat berkenaan
serta pengamal media yang membuat liputan terkini misi itu, hari ini.

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, alunan takbir ini dikumandangkan bagi meraikan kejayaan manis pembebasan aktivis itu.

“Alunan takbir ini biasanya dikumandangkan setiap kali kemenangan diraih sama ada di negara ini atau di negara-negara Arab termasuk di Palestin.

“Insya-Allah minggu depan adalah minggu Aidiladha, saya kira kita sedang meraikan kemenangan ini,” katanya ketika mengakhiri sidang akhbar terakhir misi GSF 2.0 di SNCC, hari ini.

Katanya, beliau merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua sahabat-sahabat media sama ada yang berada di SNCC mahupun yang berada di bilik berita dan semua yang telah menjadi pejuang media sosial.

Dalam pada itu, Sani Araby berkata, pihaknya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan mendambakan Palestin Merdeka supaya terus menggembleng usaha bersama masyarakat dunia demi
membebaskan Gaza dan Palestin daripada penjajahan serta penindasan.

“Kita mesti kekal bersatu dan memahami bahawa hanya ada satu musuh yang perlu ditentang iaitu penjenayah kemanusiaan yang membunuh anak kecil, wanita serta
insan yang tidak berdosa sambil merampas tanah.

“SNCC sekali lagi menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus memperhebat solidariti melalui solat hajat, Qunut Nazilah, munajat nasional serta tekanan diplomatik dan advokasi berterusan sehingga seluruh delegasi kemanusiaan dibebaskan dengan selamat dan sekatan ke atas Gaza ditamatkan sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top